10 tahun tunggu anak ketiga tak sangka dapat 'bayi merdeka'

Dr Kasemani (tiga dari kanan) bersama Alyani (tiga dari kiri) ketika menyantuni pasangan suami isteri yang menyambut kelahiran bayi sempena ulang tahun Hari Kebangsaan ke-66 pada Khamis.
Dr Kasemani (tiga dari kanan) bersama Alyani (tiga dari kiri) ketika menyantuni pasangan suami isteri yang menyambut kelahiran bayi sempena ulang tahun Hari Kebangsaan ke-66 pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penantian sepasang suami isteri selama 10 tahun untuk mendapatkan anak ketiga menjadi kenyataan apabila mereka dikurniakan seorang bayi perempuan yang dilahirkan tepat jam 1.25 pagi, pada Khamis.

Lebih manis, bayi mereka dilahirkan awal pagi ketika rakyat Malaysia meraikan sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan ke-66 pada 31 Ogos.

Alyani Adnan, 35, berkata, dia tidak menyangka bayinya itu lahir pada hari merdeka kerana tarikh jangkaan lahir sepatutnya tiga hari lepas iaitu pada 28 Ogos.

"Saya masuk wad sehari sebelum due (tarikh jangka lahir) iaitu pada 27 Ogos sebab saya bimbang bilangan pergerakan bayi tak cukup 10 kali hari tu.

Alyani (kiri) disamping suaminya, Mohamad Zahar (tengah) sempena Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) dan Sambutan Bayi Merdeka 31 Ogos 2023 di Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA) di Kuala Terengganu, pada Khamis.
Alyani (kiri) disamping suaminya, Mohamad Zahar (tengah) sempena Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) dan Sambutan Bayi Merdeka 31 Ogos 2023 di Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA) di Kuala Terengganu, pada Khamis.



"Tapi saya tunggu sampai tarikh due tak ada kontraksi (tanda bersalin) sehinggalah tarikh 31 Ogos. Tak sangka pula anak saya ni 'bayi merdeka' terawal lahir di Terengganu," katanya yang tinggal di Bukit Payong, Marang.

Alyani ditemani suaminya, Mohamad Zahar Ali, 38, ketika ditemui pemberita sempena Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) dan Sambutan Bayi Merdeka 31 Ogos 2023 di Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA), di sini pada Khamis.

Sementara itu, Norazian Mamat, 38, berkata, dia tidak menyangka anak ketujuhnya dilahirkan pada hari bersejarah negara.

Artikel Berkaitan:

"Sepatutnya anak saya due minggu depan. Tak sangka pula tiba-tiba air ketuban berkurangan dan perlu bersalin lebih awal.

"Saya bersyukur proses kelahiran berjalan lancar dan saya selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.99 kg jam 3.56 pagi tadi," katanya.

Seramai 36 bayi merdeka dengan 18 bayi lelaki dan 18 bayi perempuan dilahirkan di seluruh Terengganu bermula jam 12 tengah malam sehingga 10 pagi Khamis.

Daripada jumlah itu, 25 bayi dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu; lima di Hospital Kemaman, tiga di Hospital Besut, dua di Hospital Dungun dan seorang bayi di Hospital Hulu Terengganu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, bayi berkenaan turut diraikan Co-opbank Pertama, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Kita bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Terengganu untuk memberi penerangan mengenai tempoh pendaftaran kelahiran bayi kepada ibu bapa mereka.

"Selain itu, mereka juga diberikan kelebihan terutama melibatkan tabung simpanan pada masa depan.

"Semoga sumbangan ini dapat menceriakan lagi keluarga bayi ini sekali gus membantu dalam membuat persiapan pendidikan anak dan merancang masa depan terbaik untuk mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!