Kepelbagaian kaum kekuatan negara, pelihara sebaik mungkin

Chia Zhen
Chia Zhen
A
A
A

ALOR SETAR - Kepelbagaian kaum menjadi kekuatan negara dalam mewujudkan sebuah komuniti Malaysia yang bangga dengan identiti setiap bangsa.

Pengerusi Gerakan Kedah, Wong Chia Zhen berkata, biarpun sehingga kini masih terdapat perbezaan yang belum dapat didamaikan, malah dicemari oleh 'perang budaya' yang masih berterusan sehingga memecahbelahkan kesatuan.

Namun, beliau percaya suatu hari nanti masyarakat majmuk ini dapat melangkaui pendirian komuniti dan bekerjasama mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang utuh.

“Perbezaan ini sebenarnya menjadi kekuatan kepada kita, saya percaya pada masa akan datang kita mampu melangkaui pendirian komuniti masing-masing dan bekerjasama mewujudkan sebuah bangsa Malaysia.

“Pada masa sama kita tetap menghargai identiti setiap kepelbagaian itu,” katanya di sini sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada Khamis.

Chia Zhen yang merupakan Exco Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam serta NGO negeri berkata, bagaimanapun proses pembinaan bangsa bukannya mudah kerana rakyatnya mempunyai fahaman identiti yang berbeza.

“Selepas merdeka 1957, sebuah bangsa baharu dengan identiti baharu diwujudkan dan sejak itu pembinaan bangsa ini diteruskan sehingga hari ini, oleh itu peliharalah ia sebaik mungkin,” ujarnya.

Menurutnya lagi, setiap masyarakat juga perlu mengingati sejarah kemerdekaan negara agar rakyat lebih menghargai nilai kemerdekaan.

Artikel Berkaitan:

“Negara kita terbentuk di bawah satu keadaan yang mana berlakunya ketegangan geopolitik yang dikenali sebagai perang dingin. Ketika itu juga berlaku perang ideologi antara doktrin demokrasi dengan doktrin komunisme.

“Malaya pada ketika itu mengambil pendirian komunisme tidak sesuai dengan demografi tempatan, seterusnya kita membentuk sebuah negara demokrasi. Dengan keunikan tersendiri, kita membentuk Persekutuan Tanah Melayu dan mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan,” jelasnya lagi.

Ketua Pemuda Gerakan Malaysia itu berharap semua anak Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum akan terus bermotivasi dan berganding bahu untuk bergerak seiring dalam membangunkan negara ini.

“Saya ingin menyeru kepada semua untuk meraikan nilai kemerdekaan yang tidak mudah diperoleh ini. Semoga kita terus bersatu padu dan sama-sama membangunkan negara tercinta.

“Saya juga mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan ke-66 kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga negara ini terus aman makmur dan rakyatnya hidup sejahtera,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!