Polis cari waris mayat lelaki ditemui di Sungai Merchong
PEKAN - Polis sedang mengesan waris mayat seorang lelaki yang ditemui tanpa identiti oleh nelayan di Sungai Merchong, Nenasi di sini, pada 19 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mayat lelaki itu ditemui dengan memakai baju T lengan panjang berwarna biru gelap berjenama Reebok dan baju T tanpa kolar lengan pendek berwarna gelap di bahagian dalam mengandungi tulisan 'Rav 96'.
Menurutnya, mangsa juga memakai seluar panjang berwarna hitam di luar dan berseluar pendek warna kuning serta hitam mempunyai logo Ferrari di dalam.
"Semakan telah dibuat dengan ketua kampung dan penduduk di kawasan Merchong dan Nenasi di sini, namun mereka tidak mengenali mangsa.
"Sehingga kini tiada sebarang laporan berkaitan orang hilang di dalam daerah ini, " katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohd Zaidi meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan diminta menghubungi Penolong Penyiasat Sarjan Majer Othman Mohammad di talian 0129886155 untuk proses pengecaman dan menuntut mayat.
Jelasnya, mayat kini berada di Unit Forensik Hospital Pekan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!