Semangat hias lorong perumahan sempena Bulan Kebangsaan
KUALA PILAH - Berbekalkan semangat patriotik dan cintakan tanah air mendorong penduduk Taman Putra, Juasseh di sini, menggembleng tenaga menghias lorong perumahan masing-masing berkonsepkan kemerdekaan sempena Pertandingan Kempen Kibar Jalur Gemilang.
Lebih menarik mereka menghias menggunakan bahan yang ada termasuklah barangan terpakai asalkan mengikut konsep ditetapkan antaranya tempurung kelapa, bekas telur dan botol selain memaparkan gambar Perdana Menteri sejak merdeka, wau bulan, patung askar berbasikal dan pelbagai lagi hiasan.
Salah seorang penduduk, Noor Hasima Mohd Tahir, 63, berkata, mereka diberikan masa seminggu untuk menghias lorong masing-masing dengan pelbagai idea antaranya membuat pintu gerbang, membina replika Bangunan Parlimen dan menghias vespa.
"Kami berjaya menyiapkan lorong masing-masing sekali gus dapat bertemu dengan jiran tetangga yang sudah lama tidak bersua berikutan kekangan pekerjaan dan urusan harian.
"Bagi pendapat saya, menghias dengan konsep kemerdekaan ini tidaklah sukar sebab kebanyakan penduduk di taman ini adalah individu yang lahir dan membesar pada zaman pra-kemerdekaan yang menyaksikan serta merasai sendiri jatuh bangun negara pada ketika itu," katanya.
Noor Hasima yakin menerusi pertandingan seumpama itu dapat memberi contoh positif kepada generasi muda untuk cintakan negara dan menyemai semangat patriotik.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Rukun Tetangga Taman Putra, Amran Yahya, 54, berkata, objektif utama pertandingan itu bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan dan mengeratkan silaturahim.
"Hadiahnya berupa wang tunai iaitu tempat pertama RM200, kedua RM150 dan ketiga RM100. Penilaian daripada juri telah dibuat pada Rabu dan pemenang akan diumumkan pada Hari Malaysia, 16 September depan.
"Jika dilihat daripada hadiah yang ditawarkan itu, ia memang tidak berbaloi, malah lebih rendah daripada modal yang dikeluarkan penduduk untuk menghias taman, namun bukan hadiah yang dikejar penduduk.
"Sambutan amat menggalakkan yang mana kami dapat lihat penduduk sangat bersemangat. Mereka membina pelbagai replika seperti wau bulan Jalur Gemilang, mengibar bendera di setiap lorong malah ada yang mencetak gambar setiap Perdana Menteri sejak dari kemerdekaan," katanya.
Justeru, Amran berkata, pihaknya berharap pertandingan atau kempen seumpama itu dapat dijalankan di taman perumahan lain setiap tahun dan mungkin boleh dipertandingkan mengikut kawasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!