Basikal ulang-alik ke sekolah menang pertandingan merdeka

Muhd Azrullah (depan, tiga dari kiri) memenangi pertandingan basikal berhias pada Program Sambutan Bulan Kemerdekaan. (Gambar kecil: Suraya)
Muhd Azrullah (depan, tiga dari kiri) memenangi pertandingan basikal berhias pada Program Sambutan Bulan Kemerdekaan. (Gambar kecil: Suraya)
A
A
A

PASIR MAS - Keterujaan menyambut Hari Kebangsaan membawa tuah kepada Muhd Azrullah Mohd Sofian, 9, yang berjaya memenangi tempat pertama dalam pertandingan basikal berhias.

Ibu kanak-kanak itu, Suraya Suradi, 46, berkata, anaknya menggunakan basikal berkenaan setiap hari untuk berulang-alik ke sekolah yang terletak berdekatan rumah mereka.

Menurut Suraya, basikal yang dihias dengan lebih 30 bendera Malaysia itu disiapkan sehari sebelum pertandingan.

"Kami membantunya melekatkan bendera dan menampal hiasan di basikal yang dibeli dua tahun lalu," katanya ketika ditemui pada Program Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-66 di sini.

Suraya memberitahu, anaknya tidak pernah melepaskan peluang menyertai sebarang pertandingan sempena Hari Kebangsaan setiap tahun malah mengingatkan mereka sekeluarga untuk menyertainya.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu juga teruja untuk memakai baju kurta yang dihiasi bendera Malaysia, tetapi malangnya pakaian itu tidak sempat sampai ke rumah.

"Saya membeli bajunya secara dalam talian tiga hari lalu. Bagi mengubat kesedihannya, saya memilih baju lain yang ada tema Hari Kebangsaan dibeli Julai lalu," katanya.

Bagaimanapun kata Suraya, Muhd Azrullah tetap bersemangat menyertai beberapa acara dalam program anjuran Kawasan Rukun Tetangga Kampung Rong Chenok di sini.

Artikel Berkaitan:

"Kami gembira dengan acara dan sambutan yang diadakan di sini sekurang-kurangnya dapat menyemarakkan semangat kepada generasi baharu," katanya.

Suraya berkata, galakan menyertai aktiviti itu bukan bertujuan untuk kemenangan semata-mata tetapi mahu menyuntik semangat cintakan negara selain mengeratkan hubungan antara rakan dan jiran.

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan Timbalan Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kelantan, Mohd Anuari Mohd Yusoff.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!