PRK Sandakan contoh terbaik, kata SPR
SANDAKAN - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan sebagai contoh terbaik PRK yang diadakan sepanjang tempoh memegang jawatan sebagai pengerusi badan berkecuali itu.
Beliau berkata, perkara itu dilihat berdasarkan kelancaran proses PRK itu berlangsung, selain aspek ketenteraman awam dan disiplin tinggi yang ditunjukkan para penyokong parti politik, calon bertanding serta pengundi.
"Mereka amat berdisiplin, menghormati undang-undang dan peraturan Pilihan Raya, saya rasa ini contoh pilihan raya yang amat baik," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan bagi PRK Sandakan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua di sini, malam ini.
Mengulas mengenai penyusutan peratus pengundi keluar mengundi, Azhar Azizan berkata itu merupakan perkara biasa.
"Peratusan yang keluar mengundi hari ini, 54.4 peratus bersamaan 21,595 pengundi, selalunya memang (pengundi) akan berkurangan daripada Pilihan Raya Umum," katanya yang menjangka faktor pengurangan berkemungkinan disebabkan ramai pengundi bekerja di luar kawasan sekali gus tidak dapat balik.
Sebelum itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Hamsan Awang Supain mengumumkan calon DAP Vivian Wong Shir Yee menang dengan majoriti 11,521 undi.
Vivian memperoleh 16,012 undi berbanding pencabar terdekat iaitu Datuk Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah yang meraih 4,491 undi.
Kemenangan Vivian itu turut melebihi majoriti bapanya mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, penyandang kerusi parlimen itu, yang mendapat majoriti 10,098 pada PRU ke-14.
Pada 28 Mac lepas, Stephen meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!