Rebah ketika lintas hormat, anggota Rela meninggal dunia
SEREMBAN - Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika perbarisan lintas hormat sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat Negeri Sembilan, di Dataran Majlis Bandaraya Seremban, di sini pada pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.25 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berusia 53 tahun itu jatuh dan tidak sedarkan diri kira-kira jam 10 pagi, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.
"Pemeriksaan pada tubuhnya mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang dikesan.
"Proses bedah siasat telah dijalankan dan pihak hospital mengesahkan kematian mangsa disebabkan masalah jantung 'Coronary Artery Occlusion'," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum itu, sebuah video berdurasi 32 saat memaparkan seorang anggota Rela terjatuh ketika perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Seremban sebelum dibantu beberapa rakannya dan individu lain tular di media sosial WhatsApp dan Facebook.
Difahamkan, Allahyarham dikenali sebagai Muhammad Noh Muhammad Isa dipercayai merupakan Ketua Kontinjen Rela Negeri Sembilan bagi perbarisan tersebut.
Sementara itu, Arifai berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat dan melihat kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Adi Khusaini Saripudin di talian 012-7707282 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06- 6033222," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!