Bapa lemas ketika cuba selamatkan anak di Pantai Miami
GEORGETOWN - Seorang lelaki dilaporkan lemas ketika cuba menyelamatkan anaknya dalam kejadian di Pantai Miami di Jalan Batu Feringgi di sini pada Khamis.
Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa, Haryadi Salleh, 43, tenggelam sewaktu cuba menyelamatkan anaknya yang berusia 13 tahun yang hampir lemas.
Difahamkan, anak mangsa berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam.
Pegawai Operasi Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Ahmad Rezki Faris Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.28 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik pasukan bomba sampai didapati seorang mangsa lelaki dilaporkan tidak sedarkan diri akibat lemas.
“Mangsa terlebih dahulu berjaya diselamatkan orang awam dan diberi rawatan awal oleh seorang doktor yang ketika itu sedang bercuti serta berada berhampiran lokasi kejadian bersama pasukan bomba serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!