Tiada pilihan kecuali emas dari Hangzhou 2022
ATLET Road To Gold (RTG) yang menggalas cabaran negara pada Sukan Asia Hangzhou 2022 tiada pilihan lain selain membutirkan kilauan pingat emas bagi memastikan kelompok tersebut kekal relevan dalam program tersebut.
Malah, penganalisis sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata, atlet RTG yang tidak terpilih ke Hangzhou juga perlu mencabar diri dengan memperbaiki prestasi dan ranking dalam beberapa kejohanan bulan ini.
Menurutnya, kelompok atlet itu juga perlu menempatkan diri dalam kalangan empat terbaik pada kejohanan yang disertai selain aksi final sebagai penanda aras kemampuan mereka untuk bersaing pada Sukan Olimpik Paris 2024.
“Sejujurnya atlet RTG negara perlu lebih melipatgandakan usaha berdasarkan beberapa keputusan kurang memberangsangkan dalam beberapa kejohanan kelayakan sebelum ini.
“Atlet RTG gagal menyerlah pada Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun; Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Glasgow, Scotland dan Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark.
"Ketiga-tiga kejohanan itu sebenarnya merupakan penanda aras untuk melihat kebolehupayaan mereka menghadiahkan kilauan emas pertama buat negara.
“Ini sesuatu yang kurang sihat memandangkan gergasi Asia seperti China, Jepun dan Korea Selatan mula menonjolkan diri. Itu belum lagi negara jiran, Thailand dan Indonesia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Sebagai rekod, atlet prospek pingat emas Sukan Olimpik menampilkan pemain badminton - Lee Zii Jia, Ng Tze Yong (perseorangan lelaki); M Thinaah-Pearly Tan (beregu wanita negara); Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki) dan dua beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut dipilih bersama-sama ratu terjun - Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri serta skuad hoki lelaki negara Malaysian Tigers bagi melengkapkan senarai atlet RTG.
Pada masa sama, Mohd Sadek menyambut baik ketegasan Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam bahawa pihaknya tidak berkompromi dalam isu berkaitan prestasi atlet.
“Program RTG ini tidak hanya merupakan program merealisasikan misi emas pertama negara Sukan Olimpik, tetapi juga program melibatkan Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.
“Jadi dalam kalangan atlet terlibat, mereka perlu akur apabila berlaku proses penyingkiran susulan prestasi tidak mencapai tahap ditetapkan, seterusnya membuka peluang kepada atlet yang lebih layak,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!