10 buah rumah rosak dilanda ribut
CHEMOR - Lima keluarga akan dipindahkan sementara ke Dewan Komuniti Klebang Prima selepas rumah mereka terjejas teruk dalam kejadian ribut di Medan Klebang Prima di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, 10 rumah penduduk rosak di bahagian bumbung selepas diterbangkan angin kencang yang berserta hujan lebat.
Pengerusi Majlis Pimpinan Komuniti Kampung (MPKK) Chepor Dalam/Seri Klebang, Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin berkata, kejadian yang berlangsung kira-kira 30 minit itu menyebabkan lima rumah penduduk rosak teruk hingga berisiko untuk didiami.
"Struktur bumbung rumah mereka rosak lebih 50 peratus. Ada serpihan bumbung dibimbangi akan menimpa penghuni rumah.
"Elektrik pula tiada jadi kita sarankan mereka pindah ke pusat pemindahan sementara menunggu kehadiran Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Tanah dan Daerah," katanya.
Sementara itu, ADUN Manjoi, Asmuni Awi berkata, pihaknya telah menyampaikan bantuan atap bagi membaik pulih bumbung rumah penduduk yang rosak.
"Sebaik sahaja saya mendapat maklumat, saya bersama pasukan Pusat Khidmat Peduli Rakyat DUN Manjoi segera turun melihat keadaan rumah dan mangsa yang terjejas.
"Memasuki waktu Maghrib, kami masih melawat rumah-rumah yang rosak. Kami menyampaikan bantuan atap dan semoga mangsa-mangsa terlibat bersabar dengan ujian ini," katanya.
Menurutnya, rumah yang terjejas akan dibaik pulih dengan segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!