Malbatt: Misi Bakara suntik semangat patriotisme
SEMALAM, rakyat Malaysia berkobar-kobar menyambut Hari Kebangsaan ke-66. Semangatnya masih belum pudar dan dapat dirasai sehingga saat ini.
Sudah pasti, kerinduan menyaksikan kemeriahan perarakan pelbagai kontinjen yang penuh warna-warni, jentera dan aset keselamatan negara termasuk persembahan muzikal terubat.
Dalam keterujaan itu, kehadiran filem Malbatt: Misi Bakara yang kini sedang meledak di pawagam-pawagam seluruh negara memang kena pada waktunya.
Naskhah tersebut antara lain memaparkan kisah benar mengenai operasi anggota Batalion Malaysia (Malbatt) membantu menyelamatkan tentera Amerika Syarikat (AS) yang terperangkap ketika perang saudara di Somalia pada 1993.
Seramai 114 RAMD Malbatt 1 terlibat dalam misi pengaman di sana (pada 1992 hingga 1995). Menerusi filem itu juga, penonton berpeluang mengetahui naratif malam kejadian tersebut dan mengenali wira yang sebenar.
Mungkin ramai bersetuju bahawa filem berkenaan antara salah satu pendekatan terbaik dalam menyuntik semangat patriotisme pada saat generasi kini seperti sudah lupa perjuangan pejuang terdahulu.
Masakan tidak, segelintir anak-anak muda zaman sekarang terlalu mengambil mudah dalam setiap perkara, lantaran lahir ketika negara sudah membangun dan tidak perlu bersusah payah.
Seperkara yang susah untuk dinafikan, keberanian dan kekentalan anggota tentera kita yang berkorban menyelamatkan nyawa demi menggalas amanah negara amatlah dibanggakan. Ia sekali gus menunjukkan perwira kita bukan calang-calang.
Selepas beberapa hari filem tersebut menghiasi layar perak, banyak komentar positif yang dilayangkan di media sosial.
Diharapkan agar ungkapan perpaduan mereka yang dizahirkan akan terus tersemat dalam jiwa. Selain itu, ia menjadi pemangkin kepada individu lain yang membacanya.
Pada masa sama, tidak keterlaluan untuk dikatakan karya Malbatt: Misi Bakara yang diarahkan oleh Andrian Teh bertaraf antarabangsa.
Bukan sahaja pemilihan pelakon bertepatan dengan karakter asal, malah plot cerita yang tidak mengelirukan, suntingan, sinematografi termasuk muzik diketengahkan memang ideal dan genius.
Sebolehnya kita berharap filem Malbatt: Misi Bakara dapat ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa nanti dan memperoleh pengiktirafan dalam anugerah global yang berprestij.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!