Teliti kewajaran 'upgrade' automatik lesen kapcai

Kelulusan semberono boleh mendatangkan risiko bahaya kepada penunggang dan pengguna jalan raya lain. - Foto hiasan/Bernama
Kelulusan semberono boleh mendatangkan risiko bahaya kepada penunggang dan pengguna jalan raya lain. - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

DUDUK sahaja di kedai kopi, kedai makan atau restoran, pasti terdengar perbualan rancak mengenai isu menaik taraf lesen B2 kepada B penuh terutama dalam kalangan orang muda.

Melihat wajah dan susuk tubuh mereka, pasti mereka baru meninggalkan alam persekolahan, lebih tepat lagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang layak memiliki lesen motosikal.

Tidak kurang juga orang dewasa yang turut sama bercerita, sama ada pemegang lesen B atau masih setia memegang lesen motosikal B2 tetapi berangan-angan mahu memiliki jentera berkapasiti lebih 250cc.

Secara amnya, lesen motosikal di Malaysia terbahagi kepada tiga kategori iaitu B2 untuk motosikal berkapasiti enjin bawah 250cc, manakala lesen B membolehkan pemegangnya menunggang sebarang motosikal tanpa had kapasiti enjin termasuk jentera roda dua berkuasa 1,800cc.

Suatu ketika dahulu, ada lesen B1 untuk motosikal tidak melebihi 500cc tetapi kini kategori itu tidak praktikal lagi dan kebanyakan sekolah memandu hanya menawarkan lesen B2 serta B untuk orang ramai.

Isu berkaitan lesen motosikal menjadi hangat apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan menaik taraf lesen memandu motosikal kelas B2 kepada B secara automatik.

Katanya, ia sebagai menghargai ‘geng motor’ termasuk mengkaji semula duti import motosikal berkuasa tinggi, dengan kedua-dua cadangan tersebut akan dibawa ke kementerian berkaitan untuk diteliti.

Namun, menaik taraf lesen B2 kepada B sebenarnya mempunyai pro dan kontra jika dilihat secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Kelebihan utama akan dirasai pemegang lesen B2 yang bercita-cita mahu memiliki jentera berkuasa tinggi dan pihak lain pastinya pengeluar atau pengedar motosikal itu sendiri.

Di negara ini, had lesen B2 menyebabkan pengeluar motosikal tidak mempunyai banyak pilihan selain memenuhkan pasaran domestik dengan jentera moped atau kapcai yang kurang menarik – kurang atau hampir tiada ciri keselamatan termaju dua roda seperti sistem brek anti-kunci (ABS), kawalan gelinciran (traction control) dan sebagainya.

Semua teknologi termaju motosikal hanya boleh didapati daripada model dengan kapasiti enjin lebih besar tetapi ia kurang mendapat perhatian kerana pemiliknya perlu memiliki lesen B, selain duti import tinggi menjadikan harganya menyamai sebuah kereta segmen B.

Model terkini keluaran Modenas, Suzuki, Yamaha, KTM, Kawasaki, BMW dan Honda mempunyai motosikal kategori entry-level serta pertengahan berkuasa 250cc ke atas dengan ciri keselamatan dan kestabilan diperlukan hampir sempurna.

Sudah pasti jualan model seperti Dominar D400, Duke 390, SR Max 300, J300 dan Forza 300, G310R serta C400 GT agak perlahan atau tidak mencapai sasaran walaupun spesifikasi dan tahap keselamatan ditawarkan lebih tinggi serta terbaik dalam kelasnya berbanding kapcai.

Hatta, skuter Yamaha X-Max yang dijual di Malaysia hanya berkapasiti 250cc sedangkan model sama di negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina ditawarkan enjin 300cc sebagai ciri standard. Agak mengecewakan sebenarnya.

Pendapat bekas pelumba Cub Prix berpengalaman, Wazi Abdul Hamid yang mahu pihak berkaitan meneliti dan menilai kewajaran menaik taraf pemegang lesen B2 kepada B memang ada benarnya.

Menurutnya, penunggang lesen B2 perlu mempunyai pengalaman menunggang motosikal selama lima tahun dan menjalani ujian penilaian sebelum layak dinaik taraf kepada kelas B.

Pelumba veteran yang juga pengajar penunggang motosikal profesional itu bersetuju kelulusan semberono boleh mendatangkan risiko bahaya kepada penunggang dan pengguna jalan raya lain.

Berdasarkan kajian Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia bermula Januari hingga September 2022, pengguna motosikal merekodkan jumlah kemalangan tertinggi dengan 2,916 kematian atau 66.6 peratus, diikuti kereta (776), pejalan kaki (233), lori (139), van (95), kenderaan pacuan empat roda (94), basikal (79), kenderaan lain (29) dan bas (17).

Lebih menyedihkan, 45 peratus kematian penunggang motosikal melibatkan mangsa dalam lingkungan usia 16 tahun hingga 29 tahun.

Data terkini juga menunjukkan jumlah pengguna jalan raya mengalami kecederaan parah naik mendadak dengan 3,406 kes atau 92.5 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2021.

Justeru, kerajaan perlu memperhalusi perkara tersebut dengan lebih teliti. Perlu diingat, majoriti penunggang motosikal di negara ini adalah mereka berusia belasan tahun, masih muda belia, baru bekerja dan pasti merugikan negara sekiranya ramai ‘tertewas’ di jalan raya akibat kesilapan memilih pendapat.

* Mohd Razlan Salleh ialah Penyunting Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!