Fenomena air pasang besar di Kuala Selangor terkawal
KUALA SELANGOR - Fenomena air pasang besar yang melanda pesisir pantai sekitar Kuala Selangor bermula pada pagi Jumaat terkawal dan tiada limpahan sehingga mengakibatkan kejadian banjir.
Smart Selangor Command Centre (SSCC) berkata, paras air laut setinggi 5.5 meter itu direkodkan pada jam 6.58 pagi di empat kawasan di daerah berkenaan.
Menurutnya, pemantauan pertama dilakukan pasukan bomba dan penyelamat di Kunci Air Sungai Janggut pada jam 6.58 pagi, manakala pemantauan kedua dilakukan di Kunci Air Sungai Sembilang pada jam 7.05 pagi.
"Lokasi pemantauan ketiga iaitu di Pantai Remis pada jam 7.09 pagi dan di Pantai Jeram pada jam 7.15 pagi," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
SSCC memberitahu, keadaan terkawal itu dipengaruhi faktor cuaca baik dan tidak berlaku hujan di kawasan pesisir pantai berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya memantau keadaan cuaca semasa selain merujuk agensi berkaitan untuk informasi keselamatan kawasan pesisir pantai.
Dalam pada itu, maklumat lanjut mengenai paras pasang surut boleh dilayari menerusi laman sesawang hydro.gov.my/ramalanpasangsurut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!