Koreografer legenda Ahmad Kassan meninggal dunia
[DIKEMAS KINI] KOREOGRAFER yang juga penari terkenal menerusi program Macam Macam Aznil, Ahmad Kassan dilaporkan meninggal dunia di Singapura pada 31 Ogos.
Berita duka itu dimaklumkan kakak Allahyarham, Poniah Kassan menerusi akaun Facebook miliknya.
Difahamkan, Ahmad Kassan yang berusia 56 tahun menghembuskan nafar terakhir pada jam 10.43 malam akibat masalah jantung (acute ischaemic heart diseases).
"Adik saya, Ahmad Kassan telah menyahut panggilan Ilahi pada 31 Ogos 2023, Khamis di Singapura. Al-Fatihah untuk beliau.
"Tanggal 1 September, kira-kira jam 9 pagi, jenazah Ahmad Kassan akan dibawa dari kediamannya di Beach Road terus ke Pusara Aman untuk dimandikan, dikafan dan seterusnya dikebumikan," kongsinya.
Sementara itu, pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi turut berkongsi berita duka sama dan menyifatkan Allahyarham antara individu penting di sebalik kejayaan program Macam Macam Aznil bermula tahun 2004.
“Saya baru dapat berita perkhabaran duka tentang pemergian sahabat saya, Allahyarham Ahmad Kassan yang merupakan antara nadi kuat dalam program Macam Macam Aznil suatu ketika dulu.
"Saya dah lama tak berhubungan dengan dia. Saya cuma dapat perkhabaran tentang diri dia melalui hantaran di Facebook, Instagram. Allahyarham adalah seorang yang sangat rapat dengan saya ketika membuat rakaman Macam Macam Aznil.
“Allahyarham adalah antara yang rapat dengan Pak Nil ketika program Macam-Macam Aznil dan tunjang utama kejayaan program itu.
"Saya rasai kehilangan dia dan semoga pemergiannya akan sama-sama kita dapat sedekahkan bacaan surah Al-Fatihah," ujarnya yang tidak dapat menahan sebak.
Terdahulu, Ahmad Kassan amat dikenali sebagai seorang yang periang dan sering menjadi kesukaan ramai dalam program Macam Macam Aznil.
Tidak hanya orang dewasa, malah kanak-kanak juga turut mengenalinya kerana menggayakan fesyen unik ketika menari dalam program berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!