Rakyat Malaysia semangat nyanyi lagu ‘Tanggal 31’ dalam MRT

Tangkap layar video TikTok menunjukkan seorang lelaki dengan Jalur Gemilang menyanyikan lagu 'Tanggal 31' sebelum diikuti oleh pengguna MRT yang lain
Tangkap layar video TikTok menunjukkan seorang lelaki dengan Jalur Gemilang menyanyikan lagu 'Tanggal 31' sebelum diikuti oleh pengguna MRT yang lain
A
A
A

SHAH ALAM - Tular sebuah video di media sosial baru-baru ini memperlihatkan beberapa pengguna Transit Aliran Massa (MRT) bersemangat menyanyikan lagu patriotik ‘Tanggal 31’ ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu.

Video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok, Darrel Noel itu memaparkan seorang lelaki dengan Jalur Gemilang menyanyikan lagu tersebut tanpa iringan muzik sebagai simbolik semangat patriotisme dalam menyambut Hari Kebangsaan ke-66 yang diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia pada Khamis.

Paparan video berdurasi selama 56 saat itu turut menunjukkan pengguna lain yang berada dalam pengangkutan berkenaan bersama-sama ikut menyanyikan lagu tersebut.

Sehingga kini perkongsian video berkenaan mendapat lebih 37,800 tanda suka dan 995 komen oleh pengguna TikTok lain.

Dalam pada itu, video tersebut turut mendapat reaksi dalam kalangan netizen yang teruja dan bersemangat melihat situasi berkenaan.

Salah seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai Mami turut memuji tindakan itu yang mencerminkan semangat kemerdekaan kuat dalam diri mereka.

“Semangat betul. Kalau saya ada di situ saya pun turut sertai,” katanya dalam ruangan komen.

Selain itu, seorang lagi pengguna TikTok, Amaludin berkata, perasaan cinta akan tanah air itu perlu diraikan oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira warna kulit.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat yang cintakan tanah airnya. Tak kira apapun bangsa dan agama kita raikan bersama kemerdekaan negara,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!