NIMP 2030 nafas baharu perindustrian Malaysia - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul - Foto Bernama
Tengku Zafrul - Foto Bernama
A
A
A

[KEMAS KINI] PELAN Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menyasarkan untuk membentuk sektor pembuatan yang kukuh dan berdaya tahan, menawarkan manfaat menyeluruh kepada pelbagai pihak berkepentingan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, tidak seperti sebelumnya, NIMP 2030 telah melaksanakan pendekatan yang berbeza untuk pembangunan perindustrian.

"Keadaan ini disumbangkan oleh beberapa faktor iaitu pertama, kita mesti mengakui pelbagai cabaran global dan domestik yang terus menghalang pertumbuhan, termasuk pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya ketika berucap pada pelancaran NIMP 2030 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, faktor kedua adalah pelbagai trend dunia yang berlaku dan ketegangan geopolitik yang telah mempengaruhi rantaian bekalan global dan persekitaran perdagangan.

"Tonggak usaha kami adalah PKS. Matlamat kami adalah meningkatkan daya saing mereka, membolehkan mereka bersepadu dengan lancar kepada rantaian bekalan global. Apa yang sama penting adalah rakyat, dengan kita menyasarkan penyediaan pekerjaan dengan gaji lebih tinggi dan berkualiti.

"Menerusi tranformasi industri, kami komited untuk membangunkan semula kumpulan pertengahan, memastikan pihak berkepentingan utama juga boleh berkembang maju demi masa depan yang makmur.

NIMP 2030 percepat tranformasi

"Sektor pembuatan Malaysia akan terus menjadi asas kepada ekonomi kita. Bagi suku kedua 2023, sektor pembuatan menyumbang sebanyak 23.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu penyumbang kedua terbesar ekonomi negara.

"Sektor ini juga menyumbang sebanyak 80 peratus kepada jumlah eksport negara di samping memanfaatkan kira-kira 17 peratus daripada tenaga kerja Malaysia. Sektor pembuatan berperanan sebagai enjin pertumbuhan utama untuk memacu fasa perkembangan ekonomi negara yang seterusnya," katanya.

NIMP 2030 mempunyai matlamat untuk mempercepat transformasi perindustrian Malaysia dengan meningkatkan daya saing syarikat Malaysia di samping memastikan integrasi yang lebih baik dengan rantaian nilai global.

Beliau berkata, pelan induk itu juga sebagai bukti terhadap komitmen visi Ekonomi Madani.

"Kami menyasarkan kepada pertumbuhan yang saksama, mampan dan inklusif, terutamanya untuk rakyat dan PKS," katanya.

"Dalam membentuk NIMP, saya gembira untuk menyatakan bahawa kita telah memastikan ia seiring dengan 32 dasar dan pelan hala tuju sedia ada dan menunjukkan pendekatan menyeluruh kerajaan ke arah integrasi yang teguh dengan objektif dasar dalam pelbagai kementerian dan agensi," katanya.

Tampil sebagai negara berdaya tahan

Artikel Berkaitan:


"Dalam merealisasikan objektif NIMP 2030, kita berupaya tampil sebagai negara berdaya tahan yang merangkumi kemakmuran, keterangkuman dan kemampanan, di samping meningkatkan martabat rakyat Malaysia seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi Madani," katanya.

Beliau turut berkongsi ungkapan pakar ekonomi Joseph Stiglitz bahawa "pembangunan adalah mengubah kehidupan rakyat, bukan sahaja melakukan transformasi kepada ekonomi."

"Ini peluang terbaik kepada kita untuk mentransformasi industri kepada pemulihan ekonomi negara yang seterusnya. Ini peluang kita untuk membuktikan kepada dunia bahawa, kita bersama-sama dapat melaksanakan visi ini agar dapat terus menempatkan Malaysia sebagai (negara) yang menyokong kemajuan perniagaan, pelaburan dan sebagai gerbang pelabur berdaya maju ke Asean, malah Asia," katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!