Tambah baik infrastruktur Kampung Sungai Temon
ISKANDAR PUTERI – Calon PH-BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat memaklumkan beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan khususnya melibatkan kemudahan infrastruktur di perkampungan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Temon, di sini.
Menurutnya, pihaknya ada menerima beberapa permohonan daripada penduduk di kampung berkenaan berhubung penambahbaikan berkenaan dan ia dalam perancangan untuk dilaksanakan jika PH-BN diberikan mandat sekali lagi untuk memimpin selepas ini.
“Ya, kita ada menerima permohonan tambahan daripada penduduk di sini dan antaranya melibatkan lampu jalan masuk ke kampung ini.
“Ini kerana pada waktu malam agak sukar masuk ke sini kerana kawasan di sini ni gelap dan belum ada lampu bagi memudahkan pelbagai aktiviti dijalankan pada waktu malam.
“Penduduk juga minta khemah bagi jalankan aktiviti pada waktu malam,” katanya kepada pemberita.
Suhaizan berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Program Sukan Rakyat Orang Asli di Kampung Sungai Temon, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dan Tok Batin kampung berkenaan, Salim Palon.
Tambah Suhaizan, pihaknya juga akan memberikan penekanan dari segi pendidikan di kampung berkenaan menerusi pemberian insentif tertentu bagi merangsang minat anak-anak untuk ke sekolah.
“Perkara ini akan menjamin masa depan yang lebih baik bagi mereka kerana kawasan ini jauh sikit dari bandar, sesuatu perlu dibuat untuk pastikan anak-anak ini terus ke sekolah,” katanya.
Sementara itu, Salim berkata, komuniti di kampung berkenaan sangat mengharapkan bantuan terutama bagi membaik pulih jeti di situ dalam usaha memudahkan lagi nelayan membawa naik hasil tangkapan masing-masing.
Katanya, bahagian bawah jeti berkenaan juga didapati telah usang dan perlu diganti bagi menjamin keselamatan orang ramai.
“Kita boleh tengok sendiri, memang dah ‘empuk’...dah 15 tahun jeti ni, dulu baik pulih pun orang kampung sendiri yang buat..jadi harap dengan kita harap sangat untuk baiki (jeti), senang nak turun naik kupang nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!