Dua remaja nahas MPV meninggal dunia
LANGKAWI - Dua remaja meninggal dunia di Hospital Sultanah Maliha selepas cedera parah akibat kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lebuhraya Langkawi, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata, mangsa, Muhammad Fizz Razwail Zainuddin,18, disahkan meninggal dunia pada jam 10.53 malam Khamis, manakala Muhammad Haikal Hakim Che Isa,18, pada jam 8.59 pagi Jumaat.
Beliau memaklumkan, kedua-dua mangsa yang merupakan penumpang MPV itu meninggal dunia ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.
"Berdasarkan laporan bedah siasat, kedua-dua remaja meninggal dunia akibat kecederaan parah dan kegagalan pelbagai organ.
"Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan empat remaja terbabit dalam kemalangan apabila MPV dinaiki mereka terbabas dan melanggar lampu jalan di selekoh Lebuhraya Langkawi pada malam Rabu.
Menurut Shariman, dua mangsa cedera parah, manakala dua lagi rakan mereka cedera ringan akibat kemalangan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!