Agong, Permaisuri Agong ucap takziah kepada keluarga anggota Rela

Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham Muhammad Noh. - Foto Facebook Istana Negara
Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham Muhammad Noh. - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga anggota Angkatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Muhammad Noh Muhammad Isa yang meninggal dunia pada Khamis.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” menurut hantaran itu.

Allahyarham adalah ketua kontinjen Rela Negeri Sembilan dan dilapor rebah dipercayai akibat serangan jantung semasa melintasi pentas utama di Dataran Majlis Bandaraya Seremban sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat Negeri Sembilan.

Muhammad Noh, 53, yang dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!