Akta Muzium digubal untuk kawal selia muzium - Aaron
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perpaduan Negara sedang menggubal akta baharu yang dikenali sebagai Akta Muzium bagi mengawal selia aktiviti berkaitan muzium di seluruh negara.
Menteri berkenaan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, akta yang antara lain akan mewajibkan setiap muzium mendaftarkan semua koleksi negara bagi tujuan rujukan dan penetapan standard dalam setiap pameran, dijangka dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.
"Kita ingin adakan Akta Muzium untuk memelihara kehendak muzium ini supaya kita boleh adakan apa yang kita hendak untuk muzium pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan 60 Tahun Muzium Negara dan melancarkan kapsul masa di sini pada Jumaat.
Kapsul masa yang mengumpulkan koleksi suara, harapan dan impian warga muzium bagi masa hadapan, akan dibuka pada 2063 ketika sambutan Muzium Negara yang ke-100.
Ketika ini semua muzium di seluruh negara bergantung kepada Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) iaitu akta penguatkuasaan bagi pemuliharaan dan pemeliharaan warisan tanah air.
Dalam perkembangan lain, Aaron berkata, Jabatan Muzium Malaysia akan memulakan kaedah pembayaran tanpa tunai bagi pembelian tiket masuk ke premis berkenaan di seluruh negara dalam masa terdekat.
Beliau turut mengumumkan tiket masuk percuma ke Muzium Negara selama tiga hari bagi warga Malaysia pada 2 dan 3 September serta pada 16 September sempena Hari Malaysia 2023.
Sempena sambutan 60 Tahun Muzium Negara, dua pameran utama diadakan iaitu Pameran 60 Tahun Muzium Negara: Satu Retrospektif yang memaparkan perjalanan Muzium Negara sepanjang enam dekat bermula 1963.
Satu lagi pameran adalah Pameran Malaysia Tanah Airku yang merupakan satu interpretasi menggambarkan aspek sejarah, kebudayaan dan alam semula jadi Malaysia melalui persembahan panel grafik serta budaya material seperti artifak.
Sementara itu, menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Aaron berkata, Muzium Negara telah berjaya mengadakan lebih 500 pameran dan menerima kehadiran 80,759,578 orang pelawat setakat ini.
"Kerajaan menerusi Kementerian Perpaduan Negara akan sentiasa mengutamakan agenda untuk menjadikan muzium sebagai platform integrasi kaum, sesuai dengan fungsinya sebagai 'guardian of heritage'," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!