Johor optimis bakat baharu mampu tuai emas Sukma di Sarawak
MAJLIS Sukan Negeri Johor (MSNJ) sudah mengenal pasti bakat baharu untuk menggalas tugas penting menuai pingat emas untuk Kontinjen Johor pada Juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Sarawak tahun depan.
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, mereka merupakan bakat besar dicungkil menerusi program pembangunan sukan di negeri ini yang akan dipersiapkan untuk Sukma.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu berkata, mereka akan dipertaruhkan dalam usaha mempertahankan gelaran juara keseluruhan Sukma.
Jelasnya, walaupun sukan kanu yang menjadi lubuk emas Kontinjen Johor tidak dipertandingkan pada edisi tersebut, MSNJ tetap optimis dapat mengulangi kejayaan tersebut di negeri itu.
"Kita akan cuba sedaya upaya mungkin untuk pertahankan gelaran juara keseluruhan itu, bagaimanapun untuk mengulangi kejayaan lalu (77 emas) agak sukar kerana atlet sebelum ini sudah melebihi had umur untuk bertanding di Sukma.
"Dahulu sukan kanu menjadi lubuk emas, namun setelah dapat tahu ia tidak disenaraikan pada Sukma di Sarawak, tumpuan kita terarah kepada acara olahraga sebagai potensi menyumbang pingat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmi dan melancarkan Sukan Bangsa Johor 2023 di Stadium Arena Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini pada Jumaat.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Datuk'On Jabbar@Jaafar.
Johor memahat sejarah muncul juara keseluruhan Sukma di Kuala Lumpur apabila membawa pulang 77 emas berbanding 55 pingat emas yang disasarkan.
Mohd Hairi berkata, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut bersama MSNJ bagi menetapkan sasaran pingat serta dan melengkapkan senarai pendek atlet pada awal tahun depan.
Mengulas mengenai Sukan Bangsa Johor, Mohd Hairi berpuas hati dengan penyertaan kira-kira 3,000 peserta yang membabitkan 56 pasukan yang mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor.
Katanya, penganjuran Sukan Bangsa Johor yang memasuki tahun kedua penganjuran menyaksikan empat Sukan dipertandingkan iaitu futsal, vola keranjang tiga lawan tiga, sepak takraw dan bola jaring.
"Objektif Sukan Bangsa Johor ini adalah bagi merakyatkan sukan selain menggalakkan budaya sihat. Penyertaan adalah bebas, ia lebih menggalakkan akar umbi untuk minat bersukan secara tidak langsung mencungkil bakat baharu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!