Minyak, gas Kelantan diambil orang lain - MB
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengakui negerinya dilimpahi banyak nikmat namun sumber asli iaitu petroleum dan gas didakwa diambil oleh pihak lain.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, Allah SWT memberkati negeri itu dengan memberikan pelbagai hasil bumi berkenaan selain kelapangan masa kepada rakyatnya untuk beragama dan hidup berkeluarga.
“Kenapa Kelantan ini Kelantan Darul Naim, sebab negeri ini penuh dengan nikmat yang banyak dikurniakan oleh Allah.
“Cuma kadang-kadang nikmat itu diambil orang, nikmat minyak (petroleum) dan gas diambil oleh orang lain. Itu sekadar contoh, tapi contoh itu perkara betul (terjadi),” katanya dalam Kuliah Pagi Jumaat di Medan Ilmu Kota Bharu, di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, nikmat lain yang dapat dirasai rakyat di negeri itu sekian lama ialah amalan sistem bekerja lima hari seminggu manakala cuti dua hari setiap Jumaat serta Sabtu.
Katanya, amalan tersebut dipraktikkan sejak zaman pemerintahan Pas di bawah Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Kelantan mulakan cuti dua hari seminggu sejak zaman Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dalam keadaan negeri lain dulunya cuti seminggu sekali.
“Oleh sebab kita Darul Naim, negeri yang penuh dengan nikmat maka, hari Jumaat boleh pergi menuntut ilmu agama manakala Sabtu pula boleh bersama keluarga,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Mohd Nassuruddin berkata, Kelantan memandang serius gejala sumbang mahram yang berlaku dan mengambil langkah dengan memantapkan dasar sebuah rumah yang dibina perlu mempunyai tiga bilik tidur bagi mengasingkan jantina anak lelaki dan perempuan serta ibu bapa.
Katanya, dasar berkenaan sudah lama diamalkan hingga sekarang dan membuktikan kerajaan negeri tersebut tidak hanya bercakap kosong.
“Di Kelantan dari dulu sampai kini, setiap rumah tidak kira kecil atau sebesar mana sekali pun, wajib ada tiga bilik iaitu bilik anak lelaki, anak perempuan dan bilik ibu bapa.
“Dasar ini juga kini diguna pakai di negara ini. Kita bercakap hal sumbang mahram dan ini yang kami lakukan untuk mengatasinya, kami tidak hanya cakap sahaja,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!