Kerajaan Selangor tidak bantah inisiatif semak dan imbang

Jamaliah (kiri), Anfaal
Jamaliah (kiri), Anfaal
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak membantah sebarang inisiatif ke arah proses semak dan imbang, termasuk pembentukan Jawatankuasa Portfolio oleh blok pembangkang, Perikatan Nasional (PN).

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, beliau berharap pembangkang benar-benar ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab dengan memfokuskan inisiatif tersebut dan bukan mempolitikkan urusan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama turut berharap wakil ADUN pembangkang dapat berbahas secara berhemah dan berfakta demi kepentingan rakyat.

"Saya tidak begitu mengenali latar belakang setiap ADUN (pembangkang) dan apakah rancangan mereka dalam jawatan kuasa berkenaan.

"Tidak kira wujud jawatan kuasa ini atau tidak yang paling penting adalah apabila sidang DUN dijalankan tidak lama lagi, saya berharap semua ADUN akan berbahas berdasarkan fakta dan kepentingan negeri Selangor," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan Jawatankuasa Portfolio yang diumum Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merangkap ADUN Hulu Kelang baru-baru ini.

Mohamed Azmin memaklumkan, PN bersetuju membentuk jawatan kuasa berkenaan melibatkan bidang-bidang utama yang akan diketuai oleh sebahagian besar ADUN berdasarkan kepakaran serta kemahiran masing-masing.

Ia selari matlamat mewujudkan blok pembangkang yang kuat, efektif dan bertanggungjawab untuk kepentingan rakyat dan negeri Selangor.

Artikel Berkaitan:

Struktur jawatan kuasa itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, beliau menjangkakan sidang DUN penggal ini tidak setenang biasa dengan kehadiran 22 ADUN pembangkang.

Bagaimanapun, katanya, barisan Exco kerajaan negeri akan bersiap sedia menjawab sebarang persoalan dibangkitkan.

"Ia adalah prosedur biasa diadakan pre council atau perbincangan awal bagi membawa perkara yang akan diangkat dan dibahaskan dalam Sidang DUN.

"Sama ada pihak kerajaan negeri mahu pun pembangkang mempunyai hak menubuhkan jawatan kuasa namun perlu merujuk ke Speaker atau ketetapan sidang DUN jika perkara itu melibatkan undang-undang," katanya.

Pada masa sama, beliau menyambut baik penubuhan jawatan kuasa berkenaan yang bakal membawa perbahasan membina yang membolehkan kerajaan negeri lebih peka kepada pentadbiran yang lebih baik.

"Cuma pembangkang perlu elak untuk ganggu gugat kestabilan dengan perbahasan tidak berkualiti, fitnah dan tohmahan.

"Dalam proses demokrasi, semak dan imbang itu adalah perlu. Apabila pembangkang kuat, kerajaan negeri akan lebih kritis dalam menjalankan peranannya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!