Mayat kru kapal jatuh laut ditemukan

Anggota Maritim Malaysia Negeri Selangor mengangkat mayat kru kapal Eco Galaxy yang ditemui di sekitar perairan Pulau Tengah, Pelabuhan Klang, Selangor pada Jumaat.
Anggota Maritim Malaysia Negeri Selangor mengangkat mayat kru kapal Eco Galaxy yang ditemui di sekitar perairan Pulau Tengah, Pelabuhan Klang, Selangor pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Mayat seorang lelaki ditemui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sekitar perairan Pulau Tengah, Pelabuhan Klang, di sini pada Jumaat.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, mayat tersebut ditemui terapung jam 9.26 pagi Jumaat oleh bot Penggalang 10 yang sedang dalam Op Carilamat.

Beliau berkata, mayat berkenaan dibawa ke Jeti Pangkalan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk proses pengecaman oleh ejen kapal Eco Galaxy, sebelum diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Banting untuk tindakan lanjut.

"Pengecaman awal oleh ejen kapal Eco Galaxy mengesahkan mayat itu adalah Peligres Jaime Langusta, 57, yang dilaporkan jatuh laut ketika ditugaskan untuk menurunkan 'pilot ladder' pada Rabu.

"Sehubungan penemuan mayat itu, Op Carilamat ditamatkan jam 1.13 petang dan Pos Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Tanjung Rhu, Pulau Carey telah ditutup," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mayat kru kapal Eco Galaxy dibawa masuk ke dalam kenderaan polis bagi proses siasatan seterusnya setelah terjatuh ke dalam laut di Perairan Pintu Gedung Tengah, Klang, Selangor pada Selasa.
Mayat kru kapal Eco Galaxy dibawa masuk ke dalam kenderaan polis bagi proses siasatan seterusnya setelah terjatuh ke dalam laut di Perairan Pintu Gedung Tengah, Klang, Selangor pada Selasa.

Terdahulu pada Selasa, Maritim Malaysia Negeri Selangor giat mencari seorang kru kapal yang terjatuh ke dalam laut di Perairan Pintu Gedung Tengah, pada tengah malam.

Mangsa merupakan seorang lelaki warga Filipina dikenali sebagai Peligres Jaime Langusta.

Artikel Berkaitan:

Mohd Sharenliza berkata, Op Carilamat yang diselaraskan oleh Maritim Malaysia pada hari ketiga itu menggunakan tiga bot daripada penguatkuasa itu sendiri, Pasukan Polis Marin (PPM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Selain itu menurutnya, proses mencari mangsa turut dibantu oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) Selangor.

"Maritim Malaysia merakamkan ribuan terima kasih serta penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi mencari ini.

"Orang ramai terutamanya komuniti maritim diingatkan agar sentiasa mementingkan aspek keselamatan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut, malah cakna dengan keadaan cuaca," ujarnya.

Tambahnya, sebarang insiden kecemasan berlaku di perairan Selangor, orang ramai boleh menyalurkan maklumat menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-321760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!