PRK: Jangan ugut, takut-takutkan pengundi - Muda

Amira (dua kanan) bersama peserta dari Puteri Wangsa dalam Majlis Perasmian dan Pelancaran Sukan Bangsa Johor Tahun 2023 di Stadium Arena MBJB, Johor Bahru, pada Jumaat.
Amira (dua kanan) bersama peserta dari Puteri Wangsa dalam Majlis Perasmian dan Pelancaran Sukan Bangsa Johor Tahun 2023 di Stadium Arena MBJB, Johor Bahru, pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti polik diingatkan supaya tidak menakutkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dengan isu sensitif terutama melibatkan isu agama, raja dan kaum (3R) semasa berkempen hanya kerana mahu meraih undi.

Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisyah Abd Aziz berkata, parti politik terlibat perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak memainkan sentimen yang menakut-nakutkan mereka.

"Jangan momokkan pengundi dan guna sentimen ketakutan itu untuk mendapatkan undi termasuk dakwaan Kerajaan Perpaduan akan tumbang. Jangan terlalu gopoh dengan isu-isu seperti itu.

"Juga jangan ugut pengundi kerana mereka sekarang sudah bijak dan bukan tidak tahu apa-apa," katanya kepada pemberita sebelum pelancaran Sukan Bangsa Johor 2023 di Stadium Arena Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini pada Jumaat.

Program berkenaan disempurnakan Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah dan turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Datuk On Jabbar@Jaafar.

Amira berkata, isu pertukaran Kerajaan Persekutuan tidak wajar dimainkan dalam kempen PRK dan Perikatan Nasional (PN) perlu menghormati pilihan rakyat serta keputusan parti-parti politik bergabung dalam satu kerajaan campuran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berkata, walaupun Muda bertanding pilihan raya negeri (PRN) lalu menentang gabungan politik lain tetapi tetap mahu mengekalkan kestabilan kerajaan di peringkat Persekutuan.

"Beri ruang kepada kerajaan Persekutuan untuk berkhidmat sampai pilihan raya umum akan datang kerana kestabilan penting untuk ekonomi dan kepercayaan (orang luar) terhadap landskap politik Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengapa jentera Muda tidak membantu Pakatan Harapan (PH) dan BN dalam PRK tersebut, Amira berkata, perkara itu sudah dimaklumkan sebelum ini dan secara peribadi beliau ada menghubungi calon PH, Suhaizan Kaiat untuk menyatakan sokongan.

Walaupun begitu katanya, jentera Muda Pulai akan turun juga membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan itu nanti untuk memastikan pengundi-pengundi sedar sekali gus keluar mengundi pada 9 September ini.

Pada PRK Parlimen Pulai, Suhaizan bakal bertemu dengan calon PN, Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!