VAR belum sedia untuk final Piala Malaysia
SISTEM teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) belum bersedia untuk digunakan pada perlawanan akhir Piala Malaysia tahun ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, sistem tersebut dijangka bersedia sepenuhnya untuk diimplementasikan bermula saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
“VAR akan digunakan tahun depan kerana apa yang kita lihat dan dimaklumkan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) tidak sempat nak gunakan namun persiapan sudah bermula pada tahun ini.
“Setakat ini kita tidak pasti bila akan digunakan namun untuk final Piala Malaysia, tak sempat (guna VAR)," katanya dalam sidang media di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya pada Jumaat.
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengharapkan agar VAR dapat digunakan secepat mungkin iaitu pada aksi final Piala Malaysia.
Dalam pada itu, Noor Azman berkata, FAM akan memastikan pengadil bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan VAR menerusi beberapa siri latihan dan kursus yang telah dijalankan.
Menurutnya, Malaysia akan mempunyai 40 pengadil yang lulus lesen sistem VAR menjelang hujung tahun ini.
"Kita menjalani tiga fasa latihan. Sesi sekarang ialah fasa kedua dan fasa ketiga pada bulan 11 dan 12. Itu adalah sesi praktikal dan berakhir tiga fasa itu maka lengkaplah latihan untuk pengadil kita.
"Selepas itu, kita akan tunggu penilaian akhir daripada FIFA pada Mac tahun depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!