PM perlu kaji semula pelaksanaan NIMP 2030 - Hassan
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta untuk mengkaji semula Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) sebelum berlakunya kerosakan dan ketidakseimbangan dalam sektor perindustrian negara.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, beliau khuatir Malaysia akan kembali menjadi sebuah negara di bawah neo-kolonialisme pemodal-pemodal asing disebabkan pelaksanaan pelan tersebut.
Katanya, pendekatan secara liberal itu bukannya progresif tetapi regresif atau undur ke belakang.
"Saya berasa bimbang dengan pengumuman NIMP 2030 yang dilancarkan Anwar hari ini kerana mengguna pakai pendekatan liberal terhadap strategi pelaburan.
"Pelaburan liberal Kerajaan Perpaduan sekarang akan mengembalikan penguasaan modal asing melebihi ekuiti modal nasional tempatan seperti zaman sebelum adanya Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1971," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Jumaat, Anwar melancarkan NIMP 2030 di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Beliau memberitahu, NIMP 2030 akan menjadikan Malaysia sebagai negara industri berteknologi tinggi dengan transformasi digital.
NIMP 2030 adalah kerangka dasar komprehensif merangkumi misi, keutamaan dan pelan tindakan dalam transformasi sektor perkilangan Malaysia.
Hassan memberi contoh, kemasukan syarikat Tesla milik Elon Musk, pemodal terkaya dunia dari Amerika Syarikat ke Malaysia dengan melanggar syarat penguasaan ekuiti dan penyertaan bersama rakan kongsi syarikat nasional tempatan adalah satu permulaan yang serius bersifat pelanggaran syarat sedia ada.
"Ia hanya bertujuan untuk mendapatkan pelaburan langsung asing yang jika tidak dikawal akan membahayakan ekonomi negara pada masa akan datang," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!