Aqil akan dapat kaki palsu
MUHAMMAD Aqil Naufal Zahiran yang tular ketika menamatkan perlumbaan 100 meter (m) menggunakan tongkat, bertemu pakar prostetik Artalive Sdn Bhd untuk penilaian bagi menentukan jenis prostetik yang diperlukan bagi membolehkannya menyertai aktiviti sukan.
“Ia bukan tentang menjadi yang terpantas tetapi mengenai keinginan dan keazamannya untuk menamatkan perlumbaan yang mengagumkan saya,” kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Jumaat.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Institut Sukan Negara (ISN) akan menyelia pemasangan prostetik Muhammad Aqil, yang memerlukan kaki palsu paras pinggul.
Pakar Perubatan Sukan ISN, Dr Ahmad Munawwar Helmi berkata, “Kami membuat susulan untuk memastikan sokongan jangka panjang dan tiada komplikasi.”
Sebelum ini, tular kelibat Muhammad Aqil yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Lepar Utara 1, menyahut cabaran dalam Kejuaraan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut 2023, mendapat dorongan gurunya, Intan Zulailkha Jusoh yang turut berlari bersamanya.
Murid berusia 11 tahun itu diiringi ibunya, Noorhafizah Mat Desa serta dua gurunya iaitu Intan Zulailkha serta Mohd Razif Ibrahim, yang membimbingnya untuk menyertai perlumbaan itu.
Hannah diiringi oleh Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia (MAFA), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mengetuai inisiatif Projek Tongkat yang bertujuan menawarkan sokongan kepada orang yang diamputasi melalui sukan.
Hannah menasihatkan mereka yang kurang upaya untuk memohon kad OKU sebagai langkah pertama.
Mereka yang berdepan kesukaran sama ingin bermain bola sepak boleh emel ke myamputeefa@gmail.com selain mengunjungi Facebook dan Instagram projek_tongkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!