BNM kenakan denda RM600,000 ke atas TNG Digital
SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) pada 18 Mei lalu mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) sebanyak RM600,000 ke atas TNG Digital Sdn Bhd (TNGD) kerana melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA).
Menurut BNM, tindakan denda terhadap TNGD itu membabitkan dua individu yang dihukum di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2014 (AMLA).
Katanya, ia jelas menyalahi akta berkenaan kerana TNGD didapati gagal melaksanakan saringan ke atas nama pelanggannya.
"TNGD juga tidak membuat siasatan lanjut bagi menentukan sama ada pelanggannya sepadan dengan senarai resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau senarai Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Jumlah AMP ditentukan dengan mengambil kira faktor buruk dan pengimbangan yang berkaitan termasuk penilaian tindakan pembetulan yang diambil untuk menangani ketidakpatuhan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah kenyataan itu, TNGD membayar RM600,000 pada 31 Mei 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!