Literasi politik belia Malaysia
Capture
A
A
A
Seperti yang digariskan dalam Dasar Belia Malaysia 2015, belia didefinisikan sebagai individu yang berumur 15 sehingga 30 tahun yang turut dipecahkan kepada tiga kumpulan utama iaitu belia awal (15 hingga 18 tahun), belia pertengahan (19 hingga 24 tahun) dan belia akhir (25 hingga 30 tahun).
Jika dilihat daripada komposisi belia Malaysia yang diperoleh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2018, jumlah penduduk yang berumur antara 15 hingga 30 tahun adalah dianggarkan seramai 9.14 juta yang mewakili 27.8 peratus daripada keseluruhan 32.86 juta penduduk Malaysia.
Fakta yang menarik tentang belia Malaysia, belia lelaki mendominasi melebihi separuh daripada jumlah belia Malaysia iaitu 51.6 peratus (4.7 juta) berbanding belia wanita seramai 48.4 peratus 4.4 juta.
Berdasarkan komposisi belia yang mewakili hampir satu pertiga daripada sejumlah rakyat Malaysia, maka agenda pemerkasaan belia telah diterjemahkan melalui komitmen yang tinggi Kementerian Belia dan Sukan sebagai agensi peneraju utama dalam menyerlahkan kemampuan belia pada usia yang muda sebagai sumber dan aset negara.
Bagi memastikan usaha pembangunan belia dapat dilaksanakan secara holistik, belia Malaysia dipecahkan kepada lapan kumpulan sasaran belia yang merangkumi belia berkerjaya, belia pengajian tinggi, belia bersekolah sehinggalah kepada kumpulan belia berisiko.
Dengan meraikan kepelbagaian dan memperluaskan inisiatif pembangunan belia, kerajaan boleh menggabungkan intipati pembangunan belia yang digariskan dalam Dasar Belia Malaysia selain mengambil input-input penting daripada Kanvas Belia Transformasi Nasional 2050 sebagai usaha dalam menterjemahkan iltizam khusus untuk anak muda seperti yang dinyatakan dalam Buku Harapan.
Ini membuktikan komitmen jitu dan berterusan kerajaan dalam mengiktiraf kemampuan dan potensi belia.
Bagi usaha pembangunan kepemimpinan belia, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan program Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) bagi melatih golongan belia menjadi pemimpin berkualiti pada masa akan datang.
Jika dilihat kepada usaha pembangunan belia di kebanyakan negara maju, aspek kepemimpinan sangat ditekankan kepada golongan belia misalnya program ‘White House Fellows’ di Amerika Syarikat dan program Sekolah Kepimpinan Masa Hadapan yang dilaksanakan di Jepun.
InstitusiJika dilihat dalam konteks penggabungan institusi, program ini merupakan sinergi daripada pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara dan program yang dianjurkan oleh Biro Tata Negara untuk golongan belia sebelum ini.
Inisiatif kerajaan terdahulu dalam pembangunan kepemimpinan belia masih diteruskan antaranya Program Felo Perdana yang memberi peluang kepada generasi muda mempelajari cara-cara pentadbiran negara dan pengalaman menjadi pemimpin.Cabaran yang dihadapi oleh golongan belia berlaku dalam empat perspektif iaitu cabaran dalam konteks politik, ekonomi, sosial dan teknologi.
Dalam mengupas cabaran belia dalam konteks politik, pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) pada tahun 2018 telah menyaksikan perubahan yang ketara dalam landskap politik Malaysia yang menyaksikan peralihan tampuk kepimpinan kerajaan.
Secara tidak langsung, cabaran yang dihadapi oleh golongan belia turut merangkumi kecelikan belia dalam politik.
Literasi politik merupakan pengetahuan belia dalam politik sebagai keperluan dalam melahirkan generasi belia sebagai warganegara Malaysia bertanggungjawab dalam menentukan kepimpinan negara.
Literasi politik adalah asas yang penting dalam menentukan kematangan belia dalam politik supaya golongan belia dapat menilai dan mengurus isu-isu nasional secara lebih terdidik.
Perkara sedemikian perlu dititikberatkan memandangkan Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang etnik yang memiliki banyak perbezaan.
Peralihan golongan belia untuk menjadi golongan dewasa memerlukan nilai kematangan politik yang harmoni berupaya melestarikan kesinambungan pembangunan negara.
Secara tidak langsung ia dapat memberi gambaran positif ke arah mewujudkan kesatuan dan kebersamaan generasi belia dalam isu-isu nasional lebih-lebih lagi dengan cadangan kerajaan untuk menurunkan had umur untuk mengundi kepada 18 tahun berbanding dari 21 tahun sebelum ini.
Semestinya, literasi politik perlu dipupuk terlebih dahulu bermula dari peringkat sekolah rendah lagi sehingga ke peringkat menengah sebelum kematangan berpolitik dapat diterjemahkan oleh golongan belia.
TeknologiSelain itu, cabaran yang dihadapi belia pada masa kini adalah konteks teknologi yang merangkumi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi.
Penggunaan teknologi kepada golongan belia dapat dimanfaatkan sebaiknya terutamanya belia bersekolah dan pengajian yang berkaitan pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan teknologi siber termasuk media digital dan sosial dalam kalangan belia perlu ditangani dengan bijak oleh golongan belia, agensi kerajaan dan pihak yang berkaitan.
Teknologi pada hari ini diibaratkan sebagai sebilah pisau kepada golongan belia.
Sekiranya pisau tersebut digunakan sebaik-baiknya, ia akan memberi manfaat yang baik dan memudahkan urusan seharian. Sebaliknya jika pisau tersebut disalah guna, maka pisau yang sama akan memberi keburukan dan mendatangkan kecederaan kepada pengguna.
Kajian Outcome Indeks Belia Malaysia 2017 yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia mendapati domain ketembusan media belia berada pada tahap sederhana dan semakin merosot iaitu daripada skor 73.59 pada tahun 2015 kepada 63.31 pada tahun 2017.
Penurunan skor pada tahun 2017 adalah disebabkan oleh penggunaan media yang tinggi yang mana secara purata golongan belia menghabiskan masa melebihi tujuh jam sehari untuk penggunaan internet dan telefon pintar. Media sosial atau media digital berperanan penting dalam konteks pembangunan belia dan masyarakat pada masa hadapan.
Maka, penggunaannya harus dibimbing serta dipandu dengan prinsip, etika dan terdidik. Berdasarkan kecenderungan belia kepada teknologi siber, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan e-sukan yang dicetuskan oleh Menteri Belia dan Sukan sebelum ini dan diperhebatkan lagi usaha itu oleh Menteri Belia dan Sukan sekarang.
E-sukan yang juga dikenali sebagai sukan elektronik adalah satu bentuk persaingan yang dibantu oleh sistem elektronik terutamanya permainan video dan kecenderungan belia pada hari ini terhadap teknologi dapat disalurkan kepada sesuatu yang bermanfaat sekali gus memperkasakan inovasi dan kreativiti ini sebagai sebuah industri untuk diceburi golongan belia.
Sinergi antara pemegang taruh yang berkaitan dengan agenda pemerkasaan belia diteruskan dengan program Impact Malaysia bagi mencapai matlamat ke arah pembangunan belia dan inovasi sosial.
Bagi memastikan inisiatif Impact Malaysia dilaksanakan secara berterusan, kerajaan disarankan untuk mewujudkan ekosistem yang memberi peluang kepada penglibatan sepenuhnya pelbagai agensi perusahaan, syarikat korporat, badan bukan kerajaan malah individu untuk melakukan inovasi sosial melalui teknologi terkini.
Pada masa yang sama, golongan belia dapat dilibatkan bersama bagi menerajui lebih banyak projek sosial yang berimpak dengan sokongan daripada semua pemegang taruh.
*Dr. Mohd Mursyid Arshad ialah Pakar Pembangunan Belia dan Pensyarah Kanan di Jabatan Pemajuan Profesional dan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!