Lima sekeluarga maut, tiga cedera nahas tiga kenderaan
SEGAMAT - [DIKEMAS KINI] Lima sekeluarga termasuk kanak-kanak perempuan maut dalam nahas jalan raya membabitkan tiga kenderaan berhampiran Taman Yayasan, Jalan Segamat-Kuantan, petang Jumaat.
Kemalangan sekitar jam 6.30 petang itu turut menyebabkan tiga lagi mangsa cedera parah.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I, Mansor Mohamad berkata, seramai 16 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat serta BBP Bandar Baru Segamat dikejarkan ke lokasi bagi membantu mangsa.
Jelasnya, kemalangan melibatkan sebuah lori treler, dua buah kereta jenis Perodua Alza dan Bezza.
"Pemandu lori dan dua penumpang Perodua Alza yang mengalami kecederaan telah dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke Hospital Segamat.
"Terdapat lima orang mangsa masih tersepit dalam Perodua Alza. Anggota bertindak mengeluarkan semua tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Sebuah lagi kereta yang dinaiki tiga wanita turut terbabit nahas dan kesemua mereka terselamat. Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Memetik laporan Bernama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata, lima mangsa yang maut terdiri daripada seorang lelaki berusia 46 tahun, dua wanita serta dua kanak-kanak perempuan berusia 10 dan 13 tahun, dipercayai suami isteri dan anak-anak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!