Zoo Rimba Razia tarikan di Hulu Terengganu

Pekerja-pekerja di Zoo Rimba Razia menunjukkan antara pelbagai jenis haiwan terdapat di zoo berkenaan antaranya iguana, ular, burung kakak tua dan sebagainya.
Pekerja-pekerja di Zoo Rimba Razia menunjukkan antara pelbagai jenis haiwan terdapat di zoo berkenaan antaranya iguana, ular, burung kakak tua dan sebagainya.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Tidak perlu pergi jauh sehingga ke Melaka atau Kuala Lumpur untuk membawa seisi keluarga bersantai melihat haiwan, penduduk pantai timur kini boleh mengunjungi Zoo Rimba Razia di sini yang terletak kira-kira 51 kilometer (km) dari bandar Kuala Terengganu.

Zoo Rimba Razia yang terletak di Kampung Dusun, Kuala Berang itu berkonsepkan 'petting zoo' di mana pengunjung dapat berinteraksi selain memberi makan sendiri kepada haiwan.

Pemilik Zoo Rimba Razia, Datuk Seri Zakaria Abdul Razak berkata, zoo tersebut menawarkan percutian berkonsepkan riadah dan santai kepada orang ramai yang ingin melihat pelbagai jenis haiwan unik dan menarik sekali gus menjadi daya tarikan pelancongan baharu di daerah ini.

"Sebenarnya ia bermula dari hobi saya yang suka membela haiwan. Apabila jumlah haiwan dibela itu makin bertambah maka saya terfikir kenapa tidak membuka sebuah zoo bagi membolehkan orang ramai boleh datang dan memberi makan sendiri kepada haiwan di sini.

Pengunjung boleh bergambar dengan ular sawa di Zoo Rimba Razia.
Pengunjung boleh bergambar dengan ular sawa di Zoo Rimba Razia.

"Dari segi penjagaan, kita sudah jaga haiwan tersebut selama enam tahun. Jadi ia bukanlah suatu masalah untuk menjaga dari segi keperluan selain sudah tahu masalah kesihatan setiap haiwan berkenaan.

"Kebanyakan haiwan di sini merupakan mesra pengunjung selain mudah dijaga. Setakat ini kita mempunyai 20 pekerja di zoo termasuk doktor haiwan yang turut memantau tahap kesihatan setiap haiwan di zoo ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, kawasan zoo berkeluasan lebih satu hektar berkenaan yang diusahakan di tanah miliknya itu telah beroperasi sejak 15 Julai lepas.

Artikel Berkaitan:

Katanya, terdapat lebih 80 spesies haiwan yang menjadi daya tarikan di zoo berkenaan dan semuanya ditempatkan di kandang khas.

Orang ramai yang mengunjungi Zoo Rimba Razia melihat kecomelan haiwan alpaca.
Orang ramai yang mengunjungi Zoo Rimba Razia melihat kecomelan haiwan alpaca.

"Kebanyakan haiwan di sini dari Eropah. Pelbagai haiwan yang signifikan di zoo ini antaranya unta, alpaca, kanggaru, kuda, keldai, capybara serta pelbagai jenis musang dari Eropah, Jepun, Thailand dan sebagainya.

"Saya boleh katakan semua haiwan di sini istimewa pada pengunjung terutama unta dan alpaca kerana mereka jenis haiwan jinak dan mesra pengunjung sebab itulah pelancong suka bagi makan serta boleh katakan semua binatang itu dibolehkan diberi makanan," ujarnya.

Selain itu, katanya, haiwan lain yang turut menjadi tarikan adalah pelbagai spesies burung termasuk kakak tua dan burung unta serta reptilia seperti ular, iguana dan sebagainya.

Zakaria menambah sejak dibuka zoo tersebut mendapat perhatian ramai apabila dikunjungi kira-kira 3,000 hingga 4,000 pengunjung setiap hari terutama pada hujung minggu.

"Baru lebih sebulan beroperasi. Alhamdulillah mendapat sambutan mengalakkan daripada pengunjung di mana hampir 50,000 pengunjung direkodkan setakat ini sejak ia beroperasi 15 Julai lepas.

"Difahamkan pengunjung paling jauh yang datang ke sini dari Perak namun majoriti yang datang ke sini ialah penduduk dari Kemaman dan ada juga dari Kuantan, Pahang dan Kota Bharu, Kelantan," jelasnya.

Dalam pada itu, Zakaria juga merancang untuk menjadikan zoo berkenaan lebih kondusif kepada pengunjung bagi memastikan mereka berasa lebih selesa dan berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan ditawarkan.

Orang ramai boleh bergambar dan bergambar sendiri dengan pelbagai jenis burung termasuk burung kakak tua di Zoo Rimba Razia.
Orang ramai boleh bergambar dan bergambar sendiri dengan pelbagai jenis burung termasuk burung kakak tua di Zoo Rimba Razia.

"Kita mahu meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada pengunjung yang datang selain mahu mereka sekali lagi datang ke sini setiap kali mengunjungi Kuala Berang atau Terengganu.

"Selain itu, pembukaan zoo ini juga membantu menghidupkan kembali Kuala Berang sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan dan pertumbuhan ekonomi penduduk setempat," ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!