Minyak masak peket susah dapat, terpaksa cari merata tempat

Peniaga dikenali sebagai Nurul, 33, menunjukkan kotak minyak masak yang kosong di kedainya di To’ Uban. Gambar kecil dari kiri: Zaiton, Norma, dan Rosmawati
Peniaga dikenali sebagai Nurul, 33, menunjukkan kotak minyak masak yang kosong di kedainya di To’ Uban. Gambar kecil dari kiri: Zaiton, Norma, dan Rosmawati
A
A
A

PASIR MAS - Lebih 5,000 penduduk di 10 kampung di mukim To’ Uban di sini berdepan kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak peket bersubsidi sejak sebulan lalu.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai runcit melibatkan kampung antaranya Kubang Chenok, Chabang Empat Chetok dan Semuba pada petang Jumaat mendapati tidak ada langsung bekalan makanan tersebut.

Seorang suri rumah, Zaiton Hasan, 63, berkata, terpaksa menjajat ke banyak kedai runcit di kawasan itu bagi mendapatkan dua peket bekalan minyak masak untuk digunakan di rumahnya.

Katanya, kebayakan masa tidak berjaya untuk mendapatkan minyak itu di kawasan berkenaan dan pergi bersama suami ke Kota Bharu atau tempat-tempat lain untuk cuba mendapatkan bekalan makanan tersebut.

“Dalam tempoh tiga bulan kebelakang ini, baru dua kali saya berjaya membeli minyak masak peket, itu pun pembelian terhad hanya dua pek sahaja.

“Kadang-kala saya meminta suami pula membeli dua peket lagi minyak masak untuk bekalan sebulan memasak di rumah,” katanya ketika ditemui di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, seorang warga emas, Norma Nor, 70, berkongsi kesukaran sama menyebabkan dia menukar menu goreng kepada rebus untuk memberi makan isu rumah iaitu ibu berusia 85 tahun dan dua cucu berusia 26 (lelaki) dan 18 (perempuan) yang tinggal bersama.

Menurut suri rumah itu, pernah terputus bekalan minyak masak di rumah paling lama seminggu kerana payah mendapatkan bahan terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Biasanya saya akan kirimkan kepada sesiapa untuk mendapatkan minyak masak di luar dari kawasan To’ Uban.

“Pilihan lain, terpaksalah makan ikan rebus atau ulam-ulam sahaja daripada lain-lain makanan bergoreng,” ujar wanita itu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Rosmawati Husain, 48, berkata, terpaksa membeli minyak masak botol sejak sebulan lalu kerana ketiadaan minyak masak paket di beberapa kedai yang dikunjungi.

Katanya, sebagai suri rumah, dia berasa sedikit terbeban kerana perlu mengeluarkan belanja yang berlipat kali ganda lebih tinggi berbanding harga minyak masak paket bersubsidi yang lebih murah.

“Harga bagi minyak masak peket sekilogram yang ditetapkan oleh kerajaan ialah RM2.50 tetapi peruncit biasanya menjual dengan harga RM3.

“Jika membeli minyak dalam botol seberat lima kilogram, harganya maksimum RM34.70 berbanding hanya RM12.50 bagi lima peket minyak masak bersubsidi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!