'Bawa pulang 10 emas dari Hangzhou 2022'
“BAWA pulang sekurang-kurangnya 10 pingat emas dari Sukan Asia Hangzhou nanti.”
Itu kata penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli ketika diminta mengulas mengenai sasaran yang bakal diumumkan kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou 2022 dari 23 September hingga 8 Oktober depan.
“Kalau berjaya bawa balik sekurang-kurangnya 10 pingat emas, barulah strategi kita tak hantar atlet elit bertanding di Sukan SEA Kemboja (temasya sukan kelas rendah) Mei lalu sebab kononnya nak tumpu pada Sukan Asia (temasya sukan lebih kompetitif) dianggap bijak dan berbaloi, peminat sukan negara pasti ‘terpulang paku buah keras’ sekaligus menutup pencapaian buruk di Kemboja itu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Malah Pekan menyifatkan Hangzhou 2022 merupakan pentas terbaik bagi pengurusan tertinggi sukan negara membuktikan tindakan sebelum ini merupakan keputusan tepat.
“Ramai atlet elit atau senior berlatih sudah lama, sewaktu Covid-19 dan selepas pasca Covid-19, macam sudah dua atau tiga tahun mereka sudah tunggu untuk beraksi di Sukan Asia Hangzhou ini.
“Malah atlet elit ini juga ada yang berlatih lama di China, di Eropah dan telah menyertai pelbagai pertandingan di seluruh dunia sebagai persiapan ke Hangzhou.
“Jadi inilah masanya untuk mereka buktikan kepada peminat-peminat sukan negara bahawa strategi pihak pengurusan tertinggi sukan negara tidak silap membuat percaturan ini,” ujarnya lagi.
Sebagai rekod, di Sukan SEA Kemboja 2023, Malaysia yang menghantar atlet pelapis menduduki tempat ketujuh selepas mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa.
Pencapaian di bumi Kemboja itu merupakan pencapaian terburuk dalam sejarah penyertaan Malaysia dalam temasya dwitahunan itu sejak 1959, selain gagal mencapai sasaran ditetapkan 40-37-64.
Sebagai rekod, kontinjen Malaysia memenangi tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa pada Sukan Asia 2018 di Indonesia sekali gus menduduki ranking ke-14 daripada 45 negara.
Emas Malaysia di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dijelmakan menerusi boling (trio wanita dan masters lelaki), berbasikal trek (pecut individu), pelayaran (Terbuka Laser 4.7), sepak takraw (regu lelaki) dan skuasy (berpasukan lelaki, perseorangan wanita).
Pada masa sama Pekan turut mengakui bahawa sandaran pingat emas masih lagi diletakkan kepada atlet seperti Datuk Azizulhasni Awang dalam acara berbasikal serta sukan-sukan pilihan kita seperti badminton, skuasy dan wushu.
“Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia tahun ini nampaknya besar juga, hampir 300 atlet tapi hampir separuh daripadanya adalah ‘team event’. Kita harap kontinjen besar juga perlu ada pulangan yang besar.
“Jadi dengan tumpuan istimewa dan 'all out' yang diberikan kepada Sukan Asia Hangzhou 2022, harapan untuk atlet elit negara membutirkan emas tidak kiralah dari sukan apa pun sangat-sangat kita harapkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!