Jangan terlalu tekan media
SHAH ALAM - Tekanan keterlaluan terhadap media tempatan hanya akan menimbulkan ketakutan dan menjadikannya ‘api dalam sekam’ yang boleh meledak di tempat lain.
Ketua Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, situasi itu tidak bagus kepada kebebasan media di negara ini kerana mereka berhak melaporkan kebenaran.
Menurutnya, teguran oleh sekumpulan wartawan kanan negara terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) seharusnya diberikan perhatian sewajarnya.
“Sebagai sebuah negara demokrasi dan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan, Perkara 10 ada menyentuh tentang kebebasan bersuara. Negara kita juga ada undang-undang yang berkait dengan Akta Hasutan dan seumpamanya.
“Jadi, media sebenarnya sudah ada garis panduan yang jelas dalam melaporkan sebarang berita. Tapi, apabila sesuatu agensi bertindak seakan-akan memberi tekanan kepada media, ia tidak bagus kepada negara demokrasi.
“Kebebasan itu perlu ada tapi terkawal. Saya menyokong gesaan kumpulan wartawan kanan itu kerana media berhak melaporkan segala kebenaran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bersama yang dikeluarkan sekumpulan wartawan kanan negara yang tidak bersetuju dengan tindakan SKMM seolah-olah seperti 'abang besar' dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian.
Mereka turut melahirkan kebimbangan apabila sejak akhir-akhir ini, pengamal media telah dipanggil oleh SKMM untuk memberi penjelasan mengenai kandungan yang mereka bawa menerusi portal berita dan laman dalam talian mereka.
Tambah Mohamad Saleeh, jika tindakan perlu diambil, ia haruslah berdasarkan undang-undang dan tidak boleh bertindak autokrasi.
“Media ada tanggungjawab sosialnya. Di situlah kena bijaksana menjaga kuasa yang dimiliki, jangan terjebak dengan autokrasi.
“Media juga ada hak menyatakan pandangan selagi mana melibatkan kepentingan untuk masyarakat. Tapi, laporan yang disiarkan janganlah berbentuk fitnah dan mengadu domba,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!