'Buka pintu bilik, dia sudah terbaring kaku'

Ahmad Kassan (kanan) amat dikenali sebagai seorang yang periang dan sering menjadi kesukaan ramai dalam program Macam Macam Aznil. - Foto Instagram Datuk Aznil Nawawi
Ahmad Kassan (kanan) amat dikenali sebagai seorang yang periang dan sering menjadi kesukaan ramai dalam program Macam Macam Aznil. - Foto Instagram Datuk Aznil Nawawi
A
A
A

KEHILANGAN orang yang tersayang sememangnya memberikan kesan terbesar dalam hidup dan perkara itu dikongsi oleh kakak kepada koreografer legenda, Allahyarham Ahmad Kassan yang dikenali sebagai Puan Shasmi.

Menurut kakaknya, Ahmad Kassan ada bertemu dengan rakan baiknya namun perwatakannya masih seperti biasa.

Cuma apa yang menimbulkan rasa tidak sedap hati apabila arwah tidak menjawab panggilan dan tidak hadir ke tempat kerja pada keesokan harinya.

“Arwah ada bertemu sahabatnya iaitu pada jam 10 Rabu malam, katanya, dia (Ahmad Kassan) normal tak ada apa-apa.

“Kemudian arwah kata mahu pulang, penat dan nak tidur.

Dia balik dan keesokan hari, kawannya sangka dia pergi kerja macam biasa.

“Tetapi tidak, jadi kawannya mula berasa tak sedap hati kerana sudah jam 2 petang lalu dia pergi ke rumah arwah.

“Kemudian dia menelefon arwah di depan pintu dan terdengar bunyi deringan telefon bimbit dari dalam.

Artikel Berkaitan:

“Jadi dia syak ada sesuatu yang tidak kena, kemudian dia terus telefon adik-beradik yang mana pegang kunci dan kami bergegas ke lokasi,” maklumnya.

Kakaknya berkongsi perkara itu menerusi perbualan telefon yang dibuat bersama pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi.

Perbualan itu dimuat naik di akaun Instagram Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil pada Jumaat.

Puan Shasmi berkongsi perkara itu menerusi perbualan telefon yang dibuat bersama pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi. - Foto Instagram Datuk Aznil Nawawi
Puan Shasmi berkongsi perkara itu menerusi perbualan telefon yang dibuat bersama pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi. - Foto Instagram Datuk Aznil Nawawi

Menjelas lanjut, kakaknya berkata, mereka menemui adiknya itu dalam keadaan kaku di atas katil di dalam biliknya.

“Kita dapat buka pintu sekitar jam 10 malam, salah seorang adik-beradik buka pintu dan masuk dalam bilik.

“Dekat katilnya dia sudah terbaring kaku... dah tak ada lagi, kemudian kami terus menghubungi pihak polis untuk pengesahan,” jelasnya.

Dalam pada itu, kakaknya juga memberitahu Ahmad Kassan menghidap penyakit diabetis sejak 15 tahun lalu.

Disebabkan penyakit itu juga, adiknya mengalami penyusutan berat badan dengan cepat dan agak ketara.

“Daripada ubat-ubat yang dia makan itulah kita dapat tahu dia ada diabetis. Doktor beri pengesahan dalam sijil kematian.

“Sudah 15 tahun dia sakit diabetis, dia punya penurunan berat badan juga sangat drastik selepas Covid-19. Kita reda...” ujarnya sebak.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Aman Singapura pada jam 11 pagi Jumaat.

Untuk rekod, Ahmad Kassan amat dikenali sebagai seorang yang periang dan sering menjadi kesukaan ramai dalam program Macam Macam Aznil.

Tidak hanya orang dewasa, malah kanak-kanak juga turut mengenalinya kerana menggayakan fesyen unik ketika menari dalam program berkenaan. - Gempak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!