Penduduk Kampung Sri Makmur mohon rumah ganti sebelum diusir
GOMBAK - Penduduk Kampung Sri Makmur memohon kerajaan negeri menyediakan rumah ganti sebelum mereka diusir untuk memberi laluan kepada projek pembangunan kondominium.
Pengerusi Persatuan Perantau Sri Makmur, Noora Mustafa berkata, penduduk bimbang rumah mereka dirobohkan pada bila-bila masa selepas menerima notis pengosongan bertarikh 18 Ogos lalu.
Menurutnya, penduduk memohon Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari campur tangan susulan 27 keluarga yang tinggal di situ berpendapatan rendah dan telah menetap di kawasan itu selama 30 tahun.
"Hasil perbincangan bersama Setiausaha Politik Kawasan, Pejabat Menteri Besar Selangor, Rahim Kasdi pada 17 Mac 2021, 14 April 2022 dan 30 November 2022 menyatakan pihak pemaju bersedia mempertimbangkan tawaran pemindahan serta kerajaan negeri telah menyediakan 30 unit rumah untuk pemindahan kampung asal Kampung Sri Makmur ke Pangsapuri Selangorku Seri Temenggong.
"Sehingga kini belum ada perbincangan bersama MB (menteri besar) dan setelah menunggu lama, penduduk menerima notis mahkamah mengarahkan pengosongan selama tujuh hari ketika proses perbincangan masih berjalan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Dakwanya, penduduk meluahkan rasa kecewa dengan layanan diterima oleh kerajaan negeri yang seolah mengusir tanpa memikirkan kebajikan rakyat.
Justeru katanya, penduduk mendesak sesi dialog bersama Menteri Besar Selangor diadakan bagi menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin.
Ujarnya, sebanyak dua syor dikemukakan penduduk membabitkan kos pemindahan dan penempatan semula.
"Pilihan pertama memohon penempatan semula di kawasan itu jika pembangunan projek dijalankan berharga RM150,000 ke bawah. Kami juga mohon kos pampasan RM700 untuk kegunaan bayaran sewa rumah sehingga pembangunan perumahan itu siap dibina.
"Pilihan kedua dengan penempatan di Rumah Selangorku Pangsapuri Sri Temenggong atau pangsapuri sekitar Gombak dengan harga RM150,000 dan dibenarkan menduduki di rumah asal sehingga rumah ganti siap sepenuhnya," katanya.
Pada masa sama, penduduk turut memohon sebarang kos pemindahan keluar masuk ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan," katanya.
Pada Rabu telah diadakan serahan memorandum kali ketiga kepada Amirudin memohon kerajaan negeri membantu penempatan penduduk yang berdepan isu pengusiran selepas menerima notis pengosongan pada 18 Ogos lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!