Guna tanah terbiar untuk tanam lebih banyak padi - CAP
Pegawai Pendidikan dan Pegawai Semulajadi Pertanian Asli Persatuan Pengguna Pulau Pinang, NV Subbarow berkata, tanah yang tidak digunakan ketika ini harus digunakan untuk penanaman padi dan bukannya membina rumah.
"Tanah yang ada harus digunakan untuk menanam padi daripada digunakan untuk membina rumah yang mana, rumah yang ada sekarang pun tidak dibeli dan dibiarkan kosong sehingga bertahun-tahun.
"Oleh itu, dengan teknologi yang ada sekarang, kita memohon kepada kerajaan supaya menukarkan tanah yang terbiar ini kepada sawah padi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kata beliau, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu memainkan peranan yang sangat penting dengan mendidik lebih ramai belia untuk menceburi dalam industri penanaman padi.
"Kementerian mempunyai banyak peranan penting antaranya menggalakkan belia untuk menanam padi. Mereka perlu diberi insentif. Kementerian juga perlu berusaha dengan menganjurkan bengkel khas untuk menerangkan cara menanam padi selain pentingnya padi kepada rakyat.
"Kementerian turut berperanan memujuk semula petani yang dahulunya menanam padi dan kini beralih ke tanaman lain supaya kembali menanam padi. Ia akan merancakkan lagi industri padi negara," katanya.
Padiberas Nasional Bhd (Bernas) menyelaraskan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan berkuat kuasa hari ini.
Bernas dalam satu kenyataan berkata, langkah pelarasan itu juga sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
Bernas mengharungi separuh tahun pertama yang sangat mencabar disebabkan ketidaktentuan pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim, kadar pertukaran mata wang asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik serantau.
Faktor itu secara kolektif mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global, ditambah lagi dengan kesan larangan pengeksportan beras putih yang diumumkan oleh India baru-baru ini.
Bernas telah menanggung kesan kenaikan harga beras import sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Seiring dengan langkah peningkatan harga itu, Bernas memberi jaminan bekalan beras akan kekal stabil untuk Malaysia kerana keselamatan makanan dan kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!