'Arwah amal mengaji al-Quran setiap kali selesai solat' - Balu imam

Robiah (kanan) menunjukkan gambar arwah suaminya ketika membaca khutbah sebelum ini.
Robiah (kanan) menunjukkan gambar arwah suaminya ketika membaca khutbah sebelum ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Mengaji al-Quran setiap kali selepas selesai solat fardu lima waktu dan solat sunat menjadi amalan sepanjang hayat Allahyarham Imam Tua Masjid Mahmudi Mukim Kedai Melor di sini.

Rutin Mohd Zamai @ Suhaimi Ibrahim, 73, mengaji al-Quran itu semakin kerap dilakukan sejak kebelakangan ini sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya sejurus selesai menyampaikan khutbah dan mengimamkan solat Jumaat dengan kira-kira 700 makmum di masjid itu pada Jumaat.

Isteri Allahyarham, Robiah Sulaiman, 72, berkata, suaminya itu bangun awal seperti biasa pada pagi Jumaat dan mereka bersama-sama ke masjid untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Katanya, selesai itu, mereka beriringan pulang dan melakukan rutin mengaji al-Quran bersama-sama di beranda rumah.

“Arwah ini memang mengaji al-Quran sepanjang masa, kalau saya nak makan sekali pun, dia akan tegur dan menyuruh saya mengaji terlebih dahulu.

"Dia sentiasa mengingatkan saya serta 10 anak kami tentang solat dan acap kali menyuruh membaca al-Quran supaya dapat menerangi alam kubur kami nanti.

“Solat Subuh pagi itulah yang terakhir buat saya dengan berimamkan dia dan mengaji al-Quran bersama-sama juga yang terakhir antara kami,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah mereka di Kampung Mahligai Melor di sini, pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Anak-anak membantu memberikan minuman kepada ibu mereka, Robiah (kanan).
Anak-anak membantu memberikan minuman kepada ibu mereka, Robiah (kanan).

Sebelum itu, Robiah yang mengimbau detik memilukan ketika mengetahui keadaan menimpa suaminya, suri rumah itu berkata, dia diminta oleh anak sulung mereka, Roshainizai, 48, untuk pergi melihat Mohd Zamai di masjid.

Menurutnya, ketika itu, dia tidak diberitahu mengenai keadaan sebenar suaminya.

“Anak ketujuh, Mohd Roshaimizan, 36, sebelum itu menelefon Roshainizai untuk membawa saya ke masjid.

“Mulanya saya ingat bapa mereka kemalangan tetapi apabila sampai sahaja di masjid, dia sudah pun meninggal dunia,” ujarnya.

Tambah Robiah, dia sekeluarga tetap reda dengan pemergian itu dan berharap kematian suaminya itu sebagai khusnul khotimah.

“Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Mahligai pada jam 10.30 malam tadi (Jumaat),” katanya.

Solat jenazah yang dilakukan dipenuhi makmum di masjid tempat arwah berkhidmat semasa hayat. - Gambar pembaca
Solat jenazah yang dilakukan dipenuhi makmum di masjid tempat arwah berkhidmat semasa hayat. - Gambar pembaca

Sebelumnya, solat jenazah arwah dilakukan di masjid tempat dia berkhidmat dan dihadiri oleh lebih 2,000 makmum.

Allahyarham Mohd Zamai @ Suhaimi pernah berkhidmat dalam pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) berpangkat Koperal di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas di sini sebelum bersara pada tahun 1990.

Setelah bersara, arwah berkhidmat di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan sebagai pegawai pencegah maksiat sebelum dilantik menjawat jawatan iImam muda seterusnya imam tua di Masjid Mahmudi Mukim Kedai Melor sejak 25 tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!