PRK: Tiada laporan babitkan isu 3R sepanjang kempen

Nie Ching (dua dari kanan), Chin Tong (kanan) dan penduduk setempat melawat tapak pemasangan peranti satelit Starlink di Dewan Kampung Orang Asli Sungai Temon, Johor Bahru pada Sabtu.
Nie Ching (dua dari kanan), Chin Tong (kanan) dan penduduk setempat melawat tapak pemasangan peranti satelit Starlink di Dewan Kampung Orang Asli Sungai Temon, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Tiada sebarang laporan berhubung kesalahan penyebaran naratif kebencian membabitkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R), khususnya dalam media sosial sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram setakat ini.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, walaupun begitu pemantauan akan terus dibuat jawatankuasa khas dianggotai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), polis dan agensi sehingga tempoh berkempen tamat.

"Ini disebabkan penggunaan platform media sosial yang kurang ketika PRK kali ini, berbanding pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.

"KKD juga telah mewujudkan satu jawatankuasa khas pemantauan isu ini dalam platform media sosial tetapi kita tidak terima laporan lagi.

"Tetapi kami akan terus memantau platform media sosial (berhubung isu 3R) pada PRK ini. Untuk PRN lalu kami terima 26 aduan dan ianya telah diserahkan kepada PDRM untuk tindakan," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak pemasangan peranti satelit Starlink di Kampung Orang Asli Sungai Temon dekat sini pada Sabtu.

Nie Ching memaklumkan, kempen PRK di media sosial dilihat sedikit hambar berbanding PRN lalu, sekali gus menganggap keadaan itu sebagai cabaran bagi Pakatan Harapan (PH) dan BN untuk menarik pengundi keluar mengundi pada 9 September nanti.

Sementara itu, katanya, MCMC tidak sewenang-wenang menyekat mana-mana portal sekiranya didapati menyebarkan maklumat palsu atau menyalahgunakan kebebasan bersuara termasuk menyekat kempen pihak pembangkang.

Ujar beliau, MCMC mengikut arahan pihak polis untuk bertindak selepas siasatan mendapati ada kesalahan.

Jelas beliau, tindakan wajar diambil terhadap pihak berkenaan yang melakukan kesalahan itu supaya penyebaran berita palsu dapat disekat.

Artikel Berkaitan:

"Senang untuk sebarkan berita palsu, tetapi penjelasan selepas penyebarannya tidak akan seefektif berita palsu. Berita palsu 'can be disseminated six times wider than' penjelasan yang diberi. Dalam kes tertentu kita perlu ambil tindakan yang lebih drastik.

"Saya percaya bahawa banyak dialog boleh diadakan untuk memahami apa sempadan kebebasan bersuara dan kebebasan maklumat.

"Kita tak ada hasrat untuk hentikan kempen pihak sana, tetapi kalau memang menyentuh isu-isu sensitif seperti 3R (kaum, agama dan raja), berita palsu yang mungkin boleh bawa kesan buruk pada masyarakat, saya rasa bahawa sebagai MCMC perlu ambil tindakan," katanya.

Pada Jumaat, Pemantau media antarabangsa Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) menggesa Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil supaya menghentikan tindakan menyekat portal-portal berita dalam talian.

Menurut RSF, pihaknya mengambil berat terhadap tindakan tersebut terutama melibatkan portal yang mengkritik kerajaan tanpa memberi penjelasan jelas sebab berbuat demikian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!