Aplikasi Pertanian Pintar kurang kebergantungan orang tengah
JASIN - Kerajaan negeri akan membangunkan aplikasi Pertanian Pintar dengan peruntukan RM2.5 juta bagi membantu petani, pekebun kecil dan industri hiliran memasarkan produk mereka tanpa kebergantungan orang tengah.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, projek yang akan dilancarkan tahun depan sedang menunggu kelulusan bajet akan datang daripada Kementerian Kewangan selain menyasarkan seramai 1,200 orang akan berdaftar di bawah aplikasi itu.
Menurutnya, aplikasi itu merupakan pertama di Melaka dan akan menjadi projek perintis untuk dimanfaatkan ke negeri-negeri lain bagi menjadikan sektor pertanian penyumbang penting ekonomi negara.
Katanya, usaha ini juga telah dipanjangkan kepada pengetahuan Timbalan Menteri Kewangan l, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sesi libat urus dengan kerajaan negeri pada bulan lalu yang turut menyambut baik inisiatif berkenaan.
"Jawatankuasa Pertanian Pintar ini telah ditubuhkan dan menunggu kelulusan bajet bagi mengurangkan orang tengah yang mana petani boleh terus berurusan dengan pembeli.
"Kalau kata nak beli cili, boleh buka aplikasi itu nanti dan cari kawasan yang berdekatan yang mengusahakan cili, jadi boleh terus beli dari ladang dengan harga jauh lebih murah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Hari Ladang Peringkat Daerah Jasin 2023 di Selandar di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairulnizam Roslan.
Beliau yang juga ADUN Merlimau berkata, pihaknya yakin aplikasi itu akan membantu golongan petani untuk mendapatkan keuntungan lebih tinggi tanpa melalui orang tengah.
Menurut beliau, sekiranya berjaya ia akan diperluaskan bagi sektor penternakan dan perikanan untuk mereka bersama memanfaatkan dunia teknologi.
"Hari ini kita perlu menggunakan teknologi yang ada untuk membantu mengurangkan bebanan golongan itu seperti masalah lambakan produk pertanian dan sebagainya," katanya lagi.
Dalam pada itu Muhammad Akmal turut memaklumkan sebanyak RM10.6juta peruntukan telah disalurkan melalui kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam sektor pertanian di Melaka pada tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!