Kubur lama ratusan tahun berdepan hakisan teruk

Penduduk, Kamaruddin Saad menunjukkan keadaan air yang bergenang di sesetengah kawasan tanah perkuburan lama berhampiran pelantar Kampung Seberang Kota.
Penduduk, Kamaruddin Saad menunjukkan keadaan air yang bergenang di sesetengah kawasan tanah perkuburan lama berhampiran pelantar Kampung Seberang Kota.
A
A
A

KUALA KEDAH - Benteng baharu perlu dibina di tepi tanah perkuburan lama berusia ratusan tahun berhampiran pelantar Kampung Seberang Kota, di sini, bagi melindungi kubur itu dari terhakis.

Penduduk, Kamaruddin Saad,63, berkata, ia berikutan kawasan perkuburan lama itu sering terdedah dengan fenomena air pasang setiap bulan hingga dikhuatiri menyebabkan berlakunya hakisan dan air bergenang.

Kamaruddin berkata, pembinaan benteng baharu secara konkrit dan kekal perlu dilakukan bagi memastikan tiada hakisan sungai kali kedua di kawasan itu.

"Sebelum ini, lebih 20 kubur lama terkesan akibat hakisan telah dipindahkan dan dikebumikan semula ke satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Marufi, Seberang Kota pada 2015.

Penduduk, Kamaruddin Saad (kanan) menunjukkan benteng daripada bag pasir dibina pada 2015 untuk mengelakkan hakisan tanah.
Penduduk, Kamaruddin Saad (kanan) menunjukkan benteng daripada bag pasir dibina pada 2015 untuk mengelakkan hakisan tanah.

"Susulan itu, benteng telah dibina beberapa tahun lepas bagi melindungi kubur lama lain namun lama-kelamaan ia khuatiri tidak bertahan memandangkan air pasang berlaku dua kali sebulan," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Menurut Kamaruddin lagi, dia yang merupakan sebahagian dari ahli keluarga kepada penduduk dikebumikan di tanah perkuburan itu mendapati ada sesetengah kawasan kubur bergenang dengan air, malah ada batu nisan yang senget atau tercabut.

"Jadi, kami harap supaya mana-mana kubur lama milik penduduk tempatan yang terjejas dibaik pulih semula atau diambil tindakan sewajarnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi waris, Abdul Ghani Othman,53, berkata, benteng yang dibina kira-kira lapan tahun lepas adalah daripada beg pasir dan kayu.

Menurut beliau, benteng baharu kukuh perlu dibina sepanjang kawasan perkuburan bermula dari pelantar dianggarkan sejauh satu kilometer (km) untuk memastikan pergerakan tanah tidak berlaku.

"Dahulunya, mendapan tanah berlaku sehingga menyebabkan kawasan tanah perkuburan terhakis, jadi ada kubur lama timbul dan perlu dipindahkan," katanya.

Disebabkan itu, Abdul Ghani berkata, mereka memohon mana-mana pihak bertanggungjawab untuk memberi perhatian dan mengambil tindakan supaya hakisan sungai tidak berulang kembali.

"Selain itu, kami berharap ada papan tanda tanah perkuburan dipasang demi memastikan tiada orang luar sesuka hati masuk ke kawasan itu," katanya.

Pandangan sama disuarakan Mohamad Sani Ramli,42, yang memohon supaya benteng baharu dibina bagi mengelakkan hakisan tanah.

Mohamad Sani memberitahu, waris bimbang tanah terhakis dan runtuh disebabkan hujan kerap kebelakangan ini, selain fenomena air pasang setiap bulan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!