Kanak-kanak lemas ketika mandi sungai bersama tiga beradik
KLUANG - Keseronokan empat beradik mandi-manda bersama di Jeram Asli, Ulu Benut di sini pada petang Jumaat bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui lemas.
Dalam kejadian 6.30 petang itu, Ahmad Ehsan Nor Hisyamuddin, 11, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Renggam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa ke Jeram Asli bersama kakaknya, Nor Najihah Nor Hisyamuddin, 18; abangnya Islah Nor Hisyamuddin,15, dan adiknya Ahmad Fahim Nor Hisyamuddin yang berusia lapan tahun.
Katanya, mengikut laporan pengadu, (kakaknya) bersama tiga lagi adiknya ke jeram tersebut namun kira-kira lima minit selepas itu terdengar suara mangsa menjerit minta pertolongan namun tidak dapat diselamatkan.
"Mangsa ditemui tidak sedarkan diri beberapa minit kemudian dan telah dirujuk ke Klinik Kesihatan Simpang Renggam namun disahkan meninggal dunia dipercayai akibat lemas.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!