1,000 penduduk rayu bina simpang, lampu isyarat elak kesesakan
KUALA SELANGOR - Kira-kira 1,000 penduduk di Taman Alam Sutera Puncak Alam, di sini merayu pihak berwajib membina simpang empat dan lampu isyarat di Jalan Bukit Cherakah bagi mengelak kesesakan terutama pada waktu puncak.
Mereka mendakwa, persimpangan dan lampu isyarat itu penting bagi mengelakkan kemalangan yang kerap berlaku di jalan berkenaan.
Seorang penduduk, Syed Rahimin Shah Syed Ahmad Shah, 37, berkata, kawasan perumahan itu sebelum ini ada persimpangan, namun ditutup berikutan kerja-kerja pembinaan perumahan di kawasan tersebut.
"Sudah setahun persimpangan ini ditutup dan ia menyukarkan penduduk terutama yang ingin menghala ke Meru atau ke laluan Persiaran Mokhtar Dahari," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.
Syed Rahimin berkata, pada masa ini, penduduk terpaksa membuat pusingan U dengan jarak kira-kira satu kilometer.
"Keadaan bertambah teruk pada waktu puncak apabila aliran trafik perlahan hingga memakan masa kira-kira 20 minit untuk membuat pusingan U," ujar beliau.
Bagi Zulfadzli Ahmad, 42, pula berkata, penduduk tidak membantah sebarang pembangunan di kawasan berhampiran, namun berharap ia mengambil kira kemudahan mereka.
Jelasnya, masalah itu bukan sahaja menyukarkan penduduk sekitar menjalankan urusan seharian, tetapi turut menjadi rungutan kepada pemandu van sekolah.
"Ramai ibu bapa mengeluh apabila van yang menjadi pengangkutan utama anak ke sekolah tidak mahu masuk ke taman perumahan.
"Saya difahamkan, setakat ini hanya ada satu van sekolah sahaja yang masih mengambil dan menghantar pulang anak-anak penduduk ke sekolah berdekatan," ujarnya.
Justeru, dia menggesa pihak berwajib dapat mempertimbangkan cadangan penduduk supaya persimpangan itu dibuka kembali dengan penambahan ciri-ciri keselamatan lain termasuk menyediakan lampu isyarat.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan yang turun padang meninjau permasalahan penduduk memberitahu, terdapat banyak aduan dan keluhan diterima daripada penduduk setempat.
Beliau memberitahu, keadaan itu memerlukan penyelesaian dan masalah itu tidak boleh dibiarkan berterusan.
"Langkah yang lebih realistik saya harus bawa isu ini kepada pemaju dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).
"Saya difahamkan, persatuan penduduk ada memberi beberapa cadangan supaya persimpangan itu dibuka dan dipasang lampu isyarat untuk keluar masuk di kiri dan kanan jalan dan ini akan diutarakan kepada pihak berwajib," jelas beliau.
Malah, jelas beliau, isu itu tidak dapat ditangani dalam waktu singkat, namun ia memerlukan tempoh masa daripada pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah tersebut.
"Saya juga menerima maklumat bahawa bekas ADUN dan Ahli Parlimen maklum tentang isu ini dan sudah ada beberapa siri perjumpaan dengan pihak MPKS dan pemaju, tetapi belum ada jalan penyelesaian.
"Tugas saya adalah membawa isu tersebut bagi memastikan perkara ini dimuktamadkan dan ada tempoh masa diberi untuk menyelesaikan masalah ini," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!