Tauke nasi kerabu maut kemalangan
KOTA BHARU - Pemilik restoran nasi kerabu, Lieniey Nasi Kerabu Tumis cawangan Pengkalan Chepa maut dalam kemalangan selepas kereta dipandunya terbabas dan berpusing sebelum merempuh tembok konkrit di Jalan Tok Guru, Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.
Kejadian berlaku pada jam 6.30 pagi itu meragut nyawa mangsa, Mohamad Aidil Anand Rosli, 33.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada.
Katanya, mangsa sebelum itu memandu kereta jenis Honda Jazz dari arah Pengkalan Chepa menghala ke Kota Bharu.
“Semasa memandu hingga sampai di tempat kejadian selepas melepasi selekoh, dia dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dalam keadaan berpusing dan melanggar tembok konkrit.
“Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, mangsa dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Mangsa dikeluarkan daripada kenderaan dalam keadaan cedera parah pada bahagian kepala dan dada.
“Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya.
Beliau berkata, siasatan berkaitan kemalangan itu dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, pihak polis memohon orang ramai yang melihat kejadian kemalangan untuk tampil bagi membantu siasatan.
“Maklumat berkaitan boleh disalurkan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu atau boleh berhubung dengan pegawai penyiasat trafik di talian 09 – 7752355,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!