'Lihat rasuah sebagai satu najis yang patut dihindari'

SIRIM sentiasa bertindak ke hadapan dalam usaha memerangi rasuah. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Ahmad Sabirin)
SIRIM sentiasa bertindak ke hadapan dalam usaha memerangi rasuah. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Ahmad Sabirin)
A
A
A

SHAH ALAM - Hampir memasuki tempoh setahun kerjasama antara Rasuah Busters dan SIRIM Berhad (SIRIM) pelbagai inisiatif telah dilakukan dan dilaksanakan, sejajar dengan tekad memerangi budaya jijik rasuah daripada terus membelenggu negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, kerjasama yang dinamakan Rasuah Busters SIRIM Chapter itu berjaya 'mengemakan' kepada perlakuan membenci rasuah, selain menjadikan agenda menentang perbuatan jijik itu berjaya diperluaskan.

Jelasnya lagi, SIRIM sentiasa bertindak ke hadapan dalam usaha memerangi rasuah dan berharap agar usaha yang dilakukan mereka ini dapat memberi kesedaran kepada semua tentang kesan kebinasaan yang disebabkan oleh rasuah.

"Apabila kita memeterai kerjasama dengan Rasuah Busters ini, ia lebih memberi penekanan iaitu tentang peri pentingnya bagi kita memerangi rasuah ini secara besar-besaran.

Kalau dahulu mungkin kita melakukannya di peringkat SIRIM dengan kerjasama agensi-agensi yang sedia ada seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) misalnya.

"Tetapi bila kita bekerjasama dengan NGO (Rasuah Busters) ini, kita dapat rasakan satu platform yang akan membawa gelombang lebih besar dan di sini mungkin dari sudut pskiloginya penerimaan lebih senang kerana ia bukannya satu agensi penguat kuasa tetapi agensi yang memberi kesedaran kepada ramai bahawa pentingnya melihat rasuah sebagai satu najis yang patut dihindari," katanya kepada Sinar Harian pada sesi wawancara bersamanya di ibu pejabat SIRIM, di sini, pada Jumaat.

Rasuah Busters SIRIM Chapter dilancarkan pada Disember 2022 bertujuan memerangi budaya rasuah dan menolak amalan salah guna kuasa.

Ia diharap dapat menjadi satu garis panduan buat semua pihak lain di luar sana untuk membentuk masyarakat berintegriti dan antirasuah

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, apa yang lebih menarik sikap saling melengkapi antara SIRIM dan Rasuah Busters itu memberi nilai tambah terhadap penambahbaikan terhadap penekanan nilai tata kelola di SIRIM.

"Ini juga sejajar dengan usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering menekankan tentang tata kelola dan di SIRIM, apabila kita hendak memerangi rasuah habis-habisan kita bukan sekadar bercakap tetapi laksanakannya menerusi tindakan.

"Sebagai contoh, kita sudah ada unit-unit tertentu yang ditubuhkan seperti unit integriti khususnya bagi memastikan isu-isu yang berkaitan salah laku integriti dapat dihapuskan dan beberapa amalan standard serta tata kelola seperti pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) SIRIM 2022-2026," katanya.

Mahu lihat rasuah dipandang jijik seperti minuman keras dan khinzir

Ahmad Sabirin
Ahmad Sabirin

Mengulas lanjut, Ahmad Sabirin berkata, kesedaran tentang bahana rasuah bukan hanya bermula di peringkat pejabat sebaliknya ia perlu bermula dari rumah dan sekolah.

Jelasnya lagi, adalah satu cadangan yang baik untuk menggunakan platform surau dan masjid untuk menyebarkan mesej mengenai isu-isu berkaitan rasuah.

"Kita hendak tunjukan bahawa rasuah ini tidak elok dan perlu diperangi, dan sekarang ini kita tahu haram tetapi orang masih melakukannya seolah-olah tiada apa-apa kesalahan.

"Kita perlu faham rasuah merosakkan semuanya, kena lihat rasuah sebagai sesuatu yang jijik, kalau dahulu makanan dan minuman haram seperti minuman keras hendak pegang botol pun takut, pegang babi pun takut najis jadi kita kena lihat rasuah pun sama juga (perasaan seperti itu)," tegasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Sabirin berkata, bagi memastikan nilai tata kelola sentiasa menjadi keutamaan SIRIM, pihaknya senantiasa 'membuka pintu' kepada SPRM untuk memantau mereka.

"SIRIM tidak akan berkompromi langsung dengan hal-hal berkenaan rasuah dan sebagainya dan sekiranya disabitkan kesalahan kita tidak teragak-agak untuk ambil tindakan.

Sekiranya SPRM hendak buat siasatan juga tiada halangan, kita membuka pintu kita pada tahap paling maksimum," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!