Berlaku kekurangan minyak masak peket di Kedah tetapi tidak meruncing
ALOR SETAR - Pengurangan bekalan minyak masak peket satu kilogram (kg) di Kedah masih berlaku namun tidak begitu meruncing seperti yang dilaporkan di Kelantan.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pengurangan bekalan minyak masak kerap berlaku pada awal dan hujung bulan.
"Ini berlaku sementara syarikat pembungkusan semula minyak masak mendapat kuota baharu, selepas itu ia akan bertahan selama dua hingga tiga minggu sebelum berulang semula masalah sama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Menurutnya, kekerapan masalah terbabit menyebabkan penduduk Kedah sudah terbiasa dengan keadaan tersebut walaupun terpaksa berhadapan dengan catuan minyak masak oleh penjual.
"Di Kelantan mungkin sebab kekurangan bekalan terlalu lama menyebabkan pengguna terpaksa membeli minyak botol, tambahan pula rakyat di sana banyak yang kurang berkemampuan," katanya.
Mohamad Yusrizal berkata, bagi mengatasi masalah berkenaan kerajaan sepatutnya meningkatkan kuota bekalan kepada negeri-negeri miskin seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu.
"Pendapatan penduduk di negeri-negeri ini terutamanya kawasan pedalaman adalah kecil, jadi mereka tidak mampu untuk membeli minyak masak botol yang jauh lebih mahal," katanya.
Sementara itu, pekerja kedai runcit, Cheong Ting Wei, 38, berkata, mereka terpaksa mengehadkan jualan minyak masak peket satu kilogram untuk setiap pelanggan.
"Kalau tak dikawal akan ada pelanggan yang tak dapat beli.Jadi kalau yang masuk kedai semata-mata nak beli minyak masak, selalunya kita tak jual," katanya.
Menurutnya, pembekal menghantar minyak masak sebanyak 50 kilogram seminggu namun ia masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan pengguna.
Sementara itu tinjauan di sebuah pasaraya di sini juga mendapati jualan minyak masak paket dihadkan kepada dua kilogram setiap pelanggan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!