Polis siasat video tular kes buli sekolah menengah di Ranau
RANAU - Polis menyiasat satu video yang tular menerusi media sosial memaparkan kejadian buli melibatkan pelajar dipercayai dari sebuah sekolah menengah di Ranau.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes berkenaan pada 3.26 petang semalam dan siasatan sedang dijalankan untuk memastikan tindakan dari sudut perundangan dilaksanakan.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video itu dan digesa supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengaibkan mana-mana individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Simiun berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menyalurkannya kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau bagi membantu siasatan.
Terdahulu, video berdurasi 5 minit 34 saat itu menunjukkan beberapa pelajar dibuli sekumpulan pelajar lain sehingga tular menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial antaranya Facebook yang mengundang kemarahan netizen. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!