'Sertai TUDM kerana rasa terpanggil untuk pertahan kedaulatan negara'
IPOH - Minat terhadap dunia ketenteraan sejak di bangku sekolah serta keinginan mencurahkan bakti mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi mendorong seorang remaja menyertai latihan Perajurit Muda Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sehingga terpilih menerima Anugerah Perajurit Muda Udara Terbaik Keseluruhan.
Muhammad Azmin Hakimi, 20, yang berasal dari Raub, Pahang telah menjalani latihan ketenteraan di Akademi Tentera Udara di sini selama enam bulan.
Anak bongsu dari enam beradik itu berkata, semasa di sekolah menengah dia aktif dalam pasukan badan beruniform dan bercita-cita mahu menjadi anggota tentera apabila tamat persekolahan.
"Saya mahu mencabar kemampuan diri dari segi mental dan fizikal selain saya mahu lari dari kebiasaan kerana adik beradik yang lain bekerja di sektor awam.
Saya juga mahu menjadi sebahagian daripada mereka yang terlibat menjaga keamanan dan kedaulatan negara,” katanya yang juga tidak pernah terfikir mampu meraih Anugerah Terbaik Keseluruhan Perajurit Muda Udara Siri 66/23 di sini hari ini.
Terdahulu, upacara tamat latihan pasukan itu dirasmikan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Seramai 387 pelatih Perajurit Muda menamatkan latihan mereka di Akademi Tentera Udara (ATU) di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Asghar Khan dalam ucapannya berkata, kerjaya sebagai anggota tentera adalah jauh berbeza berbanding kerjaya lain kerana ia merupakan satu amanah yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab, bersemangat jitu dan memiliki kesabaran yang tinggi.
"Walau apa jua cabaran dan rintangan yang mendatang, tanggungjawab dalam mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara adalah perkara yang perlu dititikberatkan. Kecuaian mahu pun kesilapan yang berlaku boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Justeru itu, beliau menyeru kepada perajurit muda udara supaya sentiasa berusaha meningkatkan sikap, kemahiran dan pengetahuan masing-masing kepada tahap yang tinggi supaya mereka terus kekal relevan seiring dengan evolusi pemerkasaan dan pembangunan TUDM untuk menjadi angkatan udara yang berspektrum penuh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!