Pasangan warga emas disamun, dipukul dengan kayu

Fura, 55, (kanan) anak kedua Saedin menunjukkan lebam pada tangan kanan bapanya akibat dipukul penyamun dan kesan luka di leher kerana diacu parang.
Fura, 55, (kanan) anak kedua Saedin menunjukkan lebam pada tangan kanan bapanya akibat dipukul penyamun dan kesan luka di leher kerana diacu parang.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang lelaki warga emas mengalami lebam di tangan dan kaki selepas dipukul bertubi-tubi dengan kayu oleh penjenayah dalam kejadian samun bersenjata di Kampung Gemuruh di sini pada awal pagi 31 Ogos lalu.

Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu turut menyebabkan mangsa, Saedin Abdul Hamid, 77, mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas didakwa cuba melawan sebelum tangan dan kakinya diikat.

Saedin yang juga bekas tentera berkata, ketika kejadian hanya dia dan isteri Noriah Rose, 77, berada dalam rumah sebelum lima lelaki disyaki warga asing bertopeng dan bersenjatakan parang serta kayu memecah masuk kediamannya melalui tingkap di bahagian dapur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Noor Zunita Begum Mohd Ibrahim (berdiri, dua kanan) ketika melawat Saedin di HTAN baru-baru ini. - Foto Noor Zunita Begum Mohd Ibrahim
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Noor Zunita Begum Mohd Ibrahim (berdiri, dua kanan) ketika melawat Saedin di HTAN baru-baru ini. - Foto Noor Zunita Begum Mohd Ibrahim

"Sebelum kejadian, isteri saya beritahu terdengar seperti orang buka tingkap, saya ke bilik air untuk tengok keadaan sekeliling dan ketika itu tidak ada apa-apa, sehinggalah ada kelibat lalu semasa saya berada dalam bilik tidur.

"Beberapa lelaki telah meluru ke arah saya lalu memukul bertubi-tubi, kemudian meminta wang hasil jualan ternakan lembu dan kambing sambil mengacu parang di leher saya," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya pada Sabtu.

Menurut Saedin, penjenayah itu salah 'target' berikutan dia tidak menternak lembu dan kambing sebaliknya ia milik saudara yang juga jiran sebelah rumahnya.

"Isteri saya yang berada di bilik sebelah telah dibawa ke ruang hadapan rumah.namun tidak diikat tetapi diarahkan untuk tidak membuat bising sementara mereka menggeledah rumah.

Artikel Berkaitan:

Penjenayah tersebut disyaki masuk melalui tingkap di bahagian dapur rumah.
Penjenayah tersebut disyaki masuk melalui tingkap di bahagian dapur rumah.

"Ada pintu bilik yang berkunci telah dipecahkan menggunakan tong gas, habis barang-barang berharga milik anak kami dilarikan termasuklah wang tunai isteri berjumlah RM6,500 dan barang kemas berupa cincin serta rantai bernilai kira-kira RM26,000," katanya.

Sebaik kesemua penjenayah itu melarikan diri kira-kira jam 4 pagi, Saedin sempat memandu kereta ditemani isterinya ke rumah anak keduanya di Taman Wira Jaya terletak dua kilometer dari rumahnya.

Saedin seterusnya mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan bersyukur tiada anggota badannya patah selain tempurung kepalanya mengalami keretakan di bahagian dahi.

Bagaimanapun Saedin berkata, dia dimaklumkan oleh pegawai perubatan lebam anggota badannya terutamanya kaki kanan disyaki dipukul lebih kurang 14 kali dengan objek tumpul.

Laporan polis telah dibuat pada hari sama kira-kira jam 8.13 pagi di Balai Polis Melang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!